Malaysia anjur 1AES November ini

Malaysia anjur 1AES November ini

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Malaysia memainkan peranan penting bagi menggalakkan aspek keusahawanan di rantau ASEAN, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong.

Malah, katanya, para usahawan berperanan penting dalam memastikan ekonomi yang kukuh dan berdaya saing sejajar kedudukan mereka sebagai golongan yang berani mengambil risiko, pelabur yang mewujudkan peluang pekerjaan dan kekayaan dalam sesebuah ekonomi.

“Malaysia misalnya akan mengadakan Sidang Kemuncak Keusahawanan 1ASEAN (1AES) pada November ini yang dijangka akan turut disertai barisan usahawan muda, pelabur pemangkin, pembuat dasar, penyedia modal usaha sama, syarikat permulaan, sektor awam dan entiti swasta di serata ASEAN.

“1AES sudah pastinya menyediakan platform bagi membolehkan kalangan usahawan ASEAN berinteraksi selain memudahkan jaringan dan pemupukan kerjasama dalam ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan panel Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Juara-Juara Baharu di Dalian, China. Kenyataannya itu dikeluarkan di sini, hari ini.

Mah turut menegaskan kepentingan inovasi yang disifatkannya sebagai kunci bagi ekonomi baharu yang memerlukan pelaksanaan langkah termasuk merapatkan hubungan syarikat-syarikat, organisasi penyelidikan serta kerajaan.

“Inovasi juga didorong menerusi sokongan untuk usahawan berasaskan pengetahuan, mempromosikan kerjasama industri-akademik, menyediakan perkhidmatan bagi tujuan pemindahan maklumat dan pengkomersialan serta memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan penyelidik,” katanya.

Menurutnya, sejajar hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, Malaysia perlu meningkatkan Pendapatan Negara Kasar kepada RM1.7 trilion yang turut memerlukan pelaburan sebanyak RM1.4 trilion serta mewujudkan 3.3 juta pekerjaan.

“Ini menunjukkan terdapat banyak ruang serta peluang untuk diterokai para usahawan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA