Malaysia, Belanda perlu manfaatkan hubungan dua hala

Malaysia, Belanda perlu manfaatkan hubungan dua hala

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Malaysia perlu memanfaatkan hubungan dua hala yang kian erat dengan Belanda untuk meneroka pelbagai kepakaran negara itu, terutama dalam teknologi pertanian, sistem pengurusan air, penyelidikan dan pendidikan.

Penerokaan itu, jika berhasil, sudah pasti mengukuhkan lagi usaha Malaysia untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Ahmad Nazri Yusof berkata negara yang dianggap “permata Eropah” itu mempunyai pelbagai kelebihan yang boleh dimanfaatkan Malaysia melalui pelbagai usaha termasuk kerjasama, pemindahan teknologi dan penghantaran pelajar.

“Negara ini mempunyai banyak yang boleh ditawarkan…dan kita belum memanfaatkan potensi (kepakaran Belanda) sepenuhnya,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di pejabatnya di The Hague, Belanda baru-baru ini.

Beliau berkata, Belanda mencapai kemajuan dalam sektor pertanian dan ia merupakan negara kedua terbesar dari segi eksport agro makanan di dunia.

Nilai eksport buah-buahan Malaysia ke Eropah disasarkan meningkat kepada sekurang-kurangnya RM50 juta pada tahun ini berbanding RM43.41 juta pada 2015 susulan aktiviti promosi produk pertanian Malaysia di benua itu. - Bernama
Nilai eksport buah-buahan Malaysia ke Eropah disasarkan meningkat kepada sekurang-kurangnya RM50 juta pada tahun ini berbanding RM43.41 juta pada 2015 susulan aktiviti promosi produk pertanian Malaysia di benua itu. – Bernama

Produk makanan oleh didapati dengan murah memandangkan Belanda memiliki teknologi pertanian yang hebat sekali gus kos sara hidup juga rendah, katanya. Justeru itu, beliau berkata, Malaysia boleh mempelajari kepakaran dan menjejaki kemajuan dalam bidang penyelidikan dan teknologi Belanda.

Ahmad Nazri berkata, selama ini, negara memberi tumpuan kepada kegiatan mempromosi produk pertanian, yang merupakan suatu usaha yang baik, namun secara peribadi beliau berpendapat penyelidikan dan teknologi Belanda yang maju boleh dibawa ke Malaysia untuk memajukan sektor pertanian negara.

Dari segi eksport dan import produk pertanian bagi kedua-dua negara, ia adalah berpihak kepada Netherlands.

Pada 2015, nilai eksport produk agro makanan Malaysia ke negara itu berjumlah RM1.66 bilion, meningkat berbanding RM1.38 bilion pada tahun sebelumnya, dengan eksport utama agro makanan terdiri daripada produk proses, koko, kopi, teh, rempah serta produk perikanan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA