Malaysia berjaya laksana 830 projek PPP

Malaysia berjaya laksana 830 projek PPP

SERDANG, 13 Okt – Malaysia telah berjaya melaksanakan sebanyak 830 projek berbentuk Perkongsian Awam Swasta (PPP) sehingga Ogos tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Katanya, PPP yang merupakan perkongsian bijak antara kerajaan dan sektor swasta bagi menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam termasuk perkhidmatan berkaitan, telah menjimatkan sejumlah RM222.9 bilion, iaitu dalam modal perbelanjaan dan operasi, masing-masing sebanyak RM207.15 bilion dan RM9.25 bilion.

Jumlah hasil keseluruhan daripada penjualan ekuiti dan kerajaan adalah sebanyak RM6.5 bilion, katanya.

“Proses ini menyebabkan perkhidmatan awam menjadi lebih mantap,” katanya pada program Fakulti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mengenai ‘Transformasi Ke Arah Pembangunan Negara’ di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dr. Aini Ideris.

PPP merupakan salah satu strategi yang dipromosikan di bawah Model Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Contoh-contoh projek PPP yang berjaya dalam negara ini adalah seperti pembinaan 36 lebuh raya bertol, penswastaan bangunan-bangunan pejabat kerajaan di Putrajaya serta 12 kampus cawangan Universiti Teknologi MARA.

Ali berkata, PPP mampu memberikan nilai untuk wang dengan menggunakan kepakaran sektor swasta dalam menggabungkan reka bentuk dan operasi sesuatu aset berbanding bentuk perolehan tradisional yang lainnya dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap.

Beliau ketika diminta mengulas mengenai Bajet 2017, melahirkan keyakinan bahawa ia akan memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu dan program-program yang akan menyokong pertumbuhan negara serta membawa Malaysia lebih dekat untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, akan membentangkan bajet tersebut pada 21 Oktober ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA