Malaysia berminat dalam sektor aeroangkasa Mexico

Malaysia berminat dalam sektor aeroangkasa Mexico

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Malaysia mengulangi minatnya untuk terus memanfaatkan kepakaran dan pengalaman Mexico untuk membangunkan sektor aeroangkasa dan penerbangan menerusi kerjasama strategik.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong berkata demikian dalam pertemuannya dengan Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Mexico Carlos De Icaza González, yang mengadakan lawatan kerja sehari ke Malaysia pada Khamis.

“Industri penerbangan Mexico mencatat nilai eksport sebanyak AS$6.7 bilion tahun lepas,” kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Malaysia berhasrat menjadi negara nombor satu dalam industri aeroangkasa di Asia Tenggara dan sebahagian daripada pasaran global pada 2030, dengan industri ini diunjurkan menyumbang pendapatan sebanyak RM32.5 bilion.

Industri tersebut juga disasarkan menjadi antara industri utama negara bagi pertumbuhan dekad seterusnya seperti yang dinyatakan dalam Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Malaysia berjaya membangunkan reputasi sebagai penggiat dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih di rantau ini dengan kemudahan bertaraf dunia.

Syarikat seperti Malaysia Airlines Bhd, Airod Sdn Bhd, Asia Aero Technics Sdn Bhd dan Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd yang ditubuhkan di Malaysia, menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan untuk pelbagai jenis kapal terbang.

Chua, yang menerima kunjungan hormat anggota delegasi Mexico yang diketuai Icaza González di MITI di sini, juga mengalu-alukan para pedagang dari Mexico untuk terus melabur dan membina kilang pembuatan di Malaysia untuk menembusi pasaran Asia.

Icaza González diiringi Ketua Pegawai Eksekutif agensi promosi perdagangan antarabangsa dan pelaburan negara, ProMéxico, Francisco N. González dan Duta Besar Mexico di Malaysia Carlos Félix Corona.

MITI berkata kedua-dua timbalan menteri tersebut yakin pelaburan oleh ahli perniagaan Mexico di Malaysia bukan sahaja akan meningkatkan perdagangan dan hubungan dua hala, malah meningkatkan kerjasama ekonomi. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA