Malaysia berpotensi jadi pusat serantau operasi koko

Malaysia berpotensi jadi pusat serantau operasi koko

SHAH ALAM, 27 Mei (Bernama) – Malaysia boleh menjadi pusat serantau bagi pemprosesan, pengedaran dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) biji koko.

Naib Presiden Asia Pasifik bagi segmen koko Barry Callebaut, Richard Fahey berkata Malaysia menjadi pangkalan amat penting bagi syarikat itu berkaitan dengan strategi operasi kokonya di Asia.

Barry Callebaut ialah pengeluar coklat dan produk coklat berkualiti tinggi yang berpangkalan di Switzerland. Fahey memberi tahu Bernama, sumbangan Malaysia kepada pemprosesan biji koko global kumpulan itu berjumlah antara 10 hingga 15 peratus.

“Kilang-kilang kami di Bukit Tinggi dan Pasir Gudang, merupakan contoh baik bagaimana kami melihat Malaysia sebagai sebahagian daripada strategi pemprosesan kami,” katanya.

Barry Callebaut menguasai 40 peratus bahagian pasaran dalam industri koko Asia Pasifik dan lebih menumpukan kepada produk tokokan nilai, pengadunan biji koko dan memberi penekanan kepada aktiviti R&D. Beliau berkata penurunan mendadak pengeluaran koko Malaysia tidak seharusnya merencatkan industri tetapi diterima dan dijadikan sebagai lonjakan untuk meningkatkan lagi pembangunan R&D.

Pengisaran koko di Malaysia turun kepada 55,590 tan metrik dalam suku keempat tahun lepas, menyusut 20.7 peratus daripada 70,064 tan metrik dalam suku yang sama pada 2013.

Perladangan koko Malaysia juga turun dengan ketara daripada 33,994 hektar pada 2005 kepada 16,070 hektar tahun lepas. Pada 1980, kawasan yang ditanam dengan koko di seluruh negara berjumlah 123,855 hektar.

Sementara itu, likur koko buatan khas yang dijadikan coklat dan juga serbuk koko merupakan antara produk khusus yang dihasilkan Barry Callebaut di Malaysia, dan merupakan antara produk paling sukar dalam keseluruhan kumpulan.

Daripada jumlah pengeluaran syarikat itu di Malaysia, 10 peratus ialah biji koko yang dihasilkan dan diproses di Malaysia, manakala 90 peratus diimport.

Mengenai logistik, Fahey berkata strategi pemprosesan syarikat itu telah berjaya membantu mengurangkan kos.

Mengenai perkembangan lain, Nicko Debenham, Naib Presiden Kemapanan Koko Global dan Pengarah Urusan Biolands Group di Barry Callebaut berkata syarikat itu telah bekerjasama dengan sektor perbankan, pertubuhan bukan kerajaan dan penderma dalam membantu pekebun kecil di Afrika dan Indonesia untuk menanam koko.

“Bagi Malaysia, kami berminat untuk bekerjasama dengan Lembaga Koko Malaysia dari segi membantu peladang tempatan menambah baik ladang mereka,” katanya.