Malaysia boleh belajar dari India

Malaysia boleh belajar dari India

NEW DELHI, 13 Sept (Bernama) – Rakyat Malaysia boleh mempelajari daripada pengalaman India dalam kerja-kerja pemuliharaan tapak warisan, kata Penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata di samping bangga dengan tugas itu, mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang ini (pemuliharaan) juga perlu bersemangat dalam profesion mereka.

“Semasa lawatan saya ke Agra dan Jaipur, saya dapati kakitangan di kawasan bersejarah ini sentiasa mencatat sesuatu semasa membuat rondaan.

Apabila saya bertanya, mereka berkata ini bagi memastikan mereka tidak ketinggalan sebarang butiran walau sekecil mana pun memandangkan ia mungkin perlu dibangkitkan dalam mesyuarat pada hari berikutnya.

“Ini menunjukkan bagaimana telitinya mereka menjalankan tugas yang kadang-kadang begitu kurang dalam kalangan orang kita,” kata Dr Rais kepada Bernama selepas lawatan persendirian empat hari beliau di kedua-dua bandar bersejarah di sini semalam.

Rais berkata selain budaya kerja, beliau juga kagum dengan kerja-kerja pentadbiran dan kawalan orang ramai di lokasi berkenaan yang menarik perhatian ribuan pelawat setiap hari.

“Sebagai contoh, di Taj Mahal, Agra, terdapat ribuan pelawat setiap hari namun saya dapati sukar untuk menemukan sebarang tanda kemudahan atau struktur warisan yang ada di sana dirosakkan,” jelas Rais.

Beliau berkata ini mungkin disebabkan penduduk di sini secara umum begitu bangga dan amat memahami tentang kepentingan memulihara warisan dan budaya mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Rais juga berkata Malaysia memerlukan lebih banyak tukang cerita yang berpengetahuan luas tentang sejarah dan warisan negara.

“Kita perlu lebih daripada pemandu pelancong biasa, di mana tukang penyampai cerita boleh menyampaikan dengan lebih baik tentang fakta-fakta sejarah dan keunikan setiap tapak berkenaan kepada pengunjung,” kata Rais.

ARTIKEL YANG SAMA