Malaysia cadang pendek masa perjalanan darat Kuching-Lawas

Malaysia cadang pendek masa perjalanan darat Kuching-Lawas

LIMBANG, 3 April (Bernama) – Malaysia akan mengadakan rundingan dengan Brunei untuk mencari kaedah sesuai bagi memendekkan masa perjalanan dari Kuching ke Lawas berikutan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM16 bilion, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, sekarang perjalanan darat dari Kuching ke Lawas dianggarkan 20 jam berikutan adanya pemeriksaan imigresen dan kastam di sempadan Malaysia dan Brunei.

“Kita akan bincang dengan Brunei kalau boleh masa perjalanan dari Kuching ke Lawas dapat dipendekkan antara 12 jam atau 14 jam,” katanya semasa merasmikan program Sejiwa Senada (SJSN) Limbang di Kompleks Sukan Limbang di sini, Sabtu.

Untuk rekod, kini terdapat empat pemeriksaan kastam dan imigresen di sempadan Malaysia-Brunei iaitu di Sungai Tujuh, Miri dan Kuala Belait, Brunei serta Tedungan, Limbang dan Kuala Lurah, Brunei.

Najib berkata untuk perjalanan dari Kuching ke Miri, masa perjalanan akan dapat dipendekkan daripada 14 jam kepada sembilan jam kalau tidak berhenti-henti setelah projek lebuh raya itu siap kelak.

Perdana Menteri sekali lagi memberi jaminan projek Lebuh Raya Pan Borneo tidak akan dikenakan tol kerana ia merupakan laluan utama pengguna jalan raya di negeri ini.

Dalam pada itu, Najib menyelar tindakan DAP Sarawak yang berbohong dengan mendakwa kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dinaikkan 6 peratus sekarang kepada 10 peratus selepas pilihan raya negeri nanti.

“Itu pembohongan, menipu rakyat Sarawak, jangan bimbang kadar GST tak akan naik,” katanya.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dalam ucapannya, memberi jaminan rundingan royalti minyak antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan diteruskan.

“Harga minyak masih menurun namun selepas harga minyak naik rundingan akan diteruskan supaya kita dapat royalti yang dipinta iaitu 20 peratus,” katanya.

Adenan pada Khamis lepas mengumumkan DUN Negeri Sarawak akan dibubarkan 11 April ini bagi memberi laluan pilihan raya negeri Sarawak ke-11.

Program SJSN mula dilancarkan di Miri pada 8 Januari adalah inisiatif turun padang perkhidmatan awam kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun, NGO dan syarikat-swasta.

SJSN Limbang adalah lokasi ketujuh dengan tiga lagi program SJSN akan diadakan di Sri Aman pada 8 hingga 10 April, Samarahan (15 hingga 17 April) dan berakhir di Kuching (22-24 April).