Malaysia diiktiraf peneraju utama ASEAN, antarabangsa

Malaysia diiktiraf peneraju utama ASEAN, antarabangsa

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Malaysia kini diiktiraf sebagai peneraju utama di rantau ASEAN malah di peringkat antarabangsa hasil daripada usaha gigih para pemimpin dan bapa pengasas negara, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Ting Lai.

Beliau berkata visi, wawasan dan kepimpinan mereka telah menyumbang kepada kemajuan negara.

“Kini, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk terus menerajui kemajuan dan perkembangan negara seterusnya memacu negara kita ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Malaysia 2016, esok.

Liow yang juga presiden MCA berkata bapa-bapa pengasas negara telah memastikan Malaysia dibangunkan atas nilai-nilai saling menghormati dan toleransi dan seterusnya membuka laluan bagi kejayaan yang berterusan.

Beliau berkata kecekalan, keberanian dan keazaman wira-wira negara menjadi contoh yang patut diikuti demi mencapai kemenangan dalam bidang lain sama ada dalam pendidikan, perdagangan atau pengangkutan.

“Bak kata pepatah ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’. Atlet-atlet Paralimpik benar-benar menghidupkan pepatah ini apabila mereka menjadi kebanggaan negara dan berjaya memecah rekod dengan memenangi tiga pingat emas,” katanya.

Dalam pada itu, Liow turut menggesa rakyat supaya berganding bahu untuk menentang undur-unsur yang melemahkan perpaduan di antara masyarakat.

“Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita memperkukuhkan perpaduan dengan semangat ‘Sehati Sejiwa’. Kita perlu mengatasi unsur-unsur negatif demi membentuk masa depan yang cerah untuk anak-anak muda kita serta generasi akan datang,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA