Malaysia diiktiraf sebagai perintis industri panel solar

Malaysia diiktiraf sebagai perintis industri panel solar

NEW YORK, 20 Jun (Bernama) – Sebuah syarikat panel solar Taiwan, mengiktiraf Malaysia sebagai peneraju dalam sektor panel solar, dan telah menyuarakan minatnya untuk menjalin kerjasama dengan rakan yang boleh dipercayai di Malaysia.

Motech Industries Inc, yang beroperasi di Tainan City, yang memulakan operasi pada 1981 sebagai pengeluar dan pembangun peralatan pengukuran dan pengujian, berkembang menjadi syarikat perkhidmatan penuh solar global.

Syarikat itu mempunyai operasi penyelidikan dan pembangunannya sendiri serta kemudahan pengeluaran bagi produk dan perkhidmatan solar, yang terdiri daripada fotovoltan (PV), wafer silikon, sel-sel PV dan modul PV untuk sistem kuasa PV.

Syarikat itu, yang mempunyai pendapatan tahunan US$756 juta pada 2015, danmendakwa sebagai pembuat sel PV terbesar di dunia dengan kapasiti pengeluaran 3.3 Gigawatt (GW), mengekalkan hubungan perdagangan dengan pengeluar panel solar Malaysia walaupun rakyat Malaysia tidak membuat sel-sel solar yang diperlukan untuk produk akhir panel solar.

“Malaysia merupakan tapak yang kukuh dan pesat membangun untuk syarikat-syarikat antarabangsa yang mengendalikan panel solar, menghasilkan beberapa komponen panel solar selain mempunyai kemudahan pengeluaran kecil untuk sel-sel solar.

Malaysia diiktiraf sebagai perintis panel solar.
Malaysia diiktiraf sebagai perintis panel solar.

“Malaysia mengimport sel solar dari Taiwan dan China, yang merupakan pengeluar sel solar terbesar. Permintaan untuk panel solar sangat tinggi. Bingkai aluminium dan kaca juga diperlukan, yang ada antaranya boleh diperoleh di Malaysia.

“Di Malaysia, panel solar kebanyakannya dipasang walaupun negara ini secara beransur-ansur beralih kepada penghasilan sepenuhnya produk berkenaan.

“Malaysia, hasil daripada penglibatan awal dalam perniagaan panel solar,telah menjadi rakan penting dalam rantaian nilai dan bekalan solar,” kataPeng Heng Chang, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Motech dalam temu bual dengan Bernama di New York pada Jumaat.

Chang berkata pasaran utama syarikat itu ialah Amerika Syarikat, China, Jepun, Eropah, India dan Asia Tenggara.

“Pasaran Asia Tenggara, terutama Indonesia dan Malaysia, sangat menggalakkan bagi kami. Permintaan serantau semakin meningkat. Kami belum mempunyai usaha sama dengan rakan Malaysia setakat ini, namun kita terbuka untuk menjalin sebarang bentuk kerjasama dengan syarikat tempatan (Malaysia).

“Kami sudah menjalin kerjasama dengan rakan kongsi di Indonesia, dan akan menimbangkan kerjasama dengan rakan kongsi Malaysia. Dua lagi syarikat besar Taiwan telah menjalin usaha sama dengan rakan kongsi masing-masing di Malaysia.

“Ya, kami juga berminat untuk bekerjasama dengan syarikat Malaysia, kami berminat mencari rakan kongsi yang baik dan boleh dipercayai,” kata Chang.

Chang berkata bekalan global panel solar berjumlah 90GW, dengan permintaan kira-kira 70GW.

ARTIKEL YANG SAMA