Malaysia dipilih semula sebagai ahli Majlis IMO

Malaysia dipilih semula sebagai ahli Majlis IMO

PUTRAJAYA, 29 Nov (Bernama) – Malaysia dipilih semula buat kali keenam berturut-turut sebagai ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi penggal 2016-2017, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata pemilihan itu mencerminkan pengiktirafan terhadap kepentingan peranan Malaysia dalam perkapalan antarabangsa khususnya dalam IMO.

“Sebagai sebuah negara maritim dengan kepentingan besar dalam pengangkutan marin, Malaysia komited kepada penyertaan aktif dalam IMO,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pemilihan itu dibuat pada Perhimpunan IMO ke-29 di ibu pejabat majlis itu di London, United Kingdom.

Katanya ketika ini Malaysia tersenarai dalam kedudukan 30 negara teratas dari segi armada perkapalan antarabangsa dengan muatan 7.16 juta tan melibatkan lebih 50,000 pelaut.

Liow berkata Malaysia turut mempunyai beberapa pelabuhan utama yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa dan mengendalikan sejumlah lebih 500 juta tan kargo.

“Malah dua daripada pelabuhan Malaysia tersenarai secara konsisten antara 20 pelabuhan paling aktif di dunia,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan Selat Melaka dan alam persekitaran marin di perairan itu sentiasa terjaga.

“Selat Melaka ialah laluan perairan penting bagi perkapalan antarabangsa yang juga merupakan antara laluan paling aktif di dunia dengan lebih 25 peratus daripada perdagangan global melalui perairan tersebut melibatkan 80,000 buah kapal setiap tahun,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 1948, IMO menjadi pendukung piawaian dalam aspek keselamatan dan perlindungan alam sekitar serta bertanggungjawab merangka kawal selia untuk memastikan perkhidmatan perkapalan antarabangsa selamat, terkawal dan cekap.

ARTIKEL YANG SAMA