Malaysia dipilih uji produk halal Taiwan

Malaysia dipilih uji produk halal Taiwan

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Taiwan berhasrat menjadikan Malaysia tempat ujian untuk produk halalnya disebabkan permintaan yang tinggi di seluruh dunia, kata Pengarah Pusat Perdagangan Taiwan di Kuala Lumpur, Jessie Tseng. Katanya kerajaan Taiwan menggalakkan lebih banyak syarikat mendapatkan pensijilan halal bagi produk mereka.

“Tahun ini kami membawa 23 syarikat untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2015), antara bilangan peserta paling banyak,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Jimrosa Taiwan Food Shops di Mid Valley Megamall, di sini hari ini.

Timbalan Perwakilan Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Moses Cheng Shyang-Yun, berkata Malaysia adalah rakan dagang kelapan terbesar Taiwan.

“Tahun lepas, dagangan dua hala bernilai sekitar AS$17.4 bilion,” katanya.

Cheng berkata bagi perniagaan makanan, cabaran ialah mendapatkan pensijilan halal.

“Pasaran Malaysia merupakan tempat ujian yang bagus bagi makanan Taiwan kerana ia juga adalah jejambat kepada 1.7 bilion Muslim di seluruh dunia. Jika kami berjaya di sini, kami juga boleh menjadi pengeksport makanan halal yang signifikan kepada orang Islam di seluruh dunia,” katanya.

Pengarah Jimrosa (M) Sdn Bhd, Willy Seah berkata syarikat itu mempunyai 300 jenis makanan Taiwan dan 90 peratus adalah halal memandangkan ia dikategorikan sebagai makanan vegetarian dan organik. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA