Malaysia, Fil...

Malaysia, Filipina & Indonesia dalam proses muktamadkan SOP TCA

KUALA LUMPUR, 19 April – Kerajaan Malaysia, Indonesia dan Filipina masih dalam peringkat rundingan bagi memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) di bawah rangka kerja Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA).

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata perkara yang masih perlu dirunding ketiga-tiga negara mencakupi, antara lain, hal berkaitan pendakwaan sekiranya berlaku penangkapan kumpulan pengganas, SOP berkenaan rondaan dan sebagainya.

TCA adalah rangka kerja yang dikongsi ketiga-tiga negara itu dalam menyatakan komitmen dan kerjasama berhubung isu-isu seperti maritim, keselamatan dan persempadanan di Laut Sulu.

“Ada beberapa perkara yang memerlukan rundingan…setakat ini belum ada jawapan mengenai bagaimana pendakwaan dilakukan kerana  belum pernah lagi mereka (kumpulan penculik) kena tangkap (di bawah operasi TCA ini). Setakat ini belum ada pendakwaan  sama ada di kawasan kita atau Filipina atau Indonesia,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan  Senator Datuk Ng Chiang Chin pada persidangan Dewan Negara hari ini yang antara lain menyentuh  bagaimana proses pendakwaan akan dilakukan sekiranya berlaku penculikan atau jenayah di kawasan rondaan TCA.

Dalam pada itu, Mohd Johari berkata di bawah rangka kerja TCA yang telah dipersetujui, pelaksanaan operasi mengejar merentasi sempadan (hot pursuit) oleh tentera dan agensi keselamatan ketiga-tiga negara adalah dibenarkan.

“…ini bagi meneruskan pemburuan ke atas kumpulan penculik bersenjata sehingga melangkau sempadan negara masing-masing selagi mana ia berada di dalam kawasan maritim yang telah dikenal pasti termasuk di laluan koridor transit,” kata timbalan menteri itu. – Bernama