Malaysia, Filipina, Indonesia setuju tubuhkan kumpulan kerja rondaan maritim

Malaysia, Filipina, Indonesia setuju tubuhkan kumpulan kerja rondaan maritim

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) – Malaysia, Filipina dan Indonesia bersetuju secara dasarnya bagi angkatan tentera masing-masing atau agensi berkaitan untuk mewujudkan Kumpulan Kerja Rondaan Maritim Tiga Hala bagi menangani isu keselamatan maritim.

Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini pada mesyuarat tiga hala yang dihadiri menteri pertahanan ketiga-tiga negara, kumpulan kerja itu akan menetapkan arahan operasi terhadap pengendalian rondaan maritim tiga hala itu.

“Pusat Arahan Maritim juga perlu diwujudkan oleh negara masing-masing dan mengekalkan tanggungjawab keseluruhan bagi tugas dan penggunaan aset masing-masing,” kata kenyataan itu.

Para menteri juga bersetuju untuk meneroka kemungkinan mewujudkan sebuah koridor transit dalam kawasan maritim, yang akan bertindak sebagai laluan laut yang ditetapkan untuk para pelaut bagi memasuki kawasan maritim yang mempunyai kepentingan bersama.

Mesyuarat tiga hala yang berlangsung di Manila, Filipina itu membincangkan cabaran keselamatan yang semakin meningkat di rantau ini, khususnya di kawasan maritim yang mempunyai kepentingan bersama bagi ketiga-tiga negara iaitu di Laut Sulu.