Malaysia hantar aset TUDM bantu Indonesia

Malaysia hantar aset TUDM bantu Indonesia

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) – Kementerian Pertahanan akan mengatur gerak aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Indonesia seawal hari ini untuk membantu memadamkan kebakaran hutan di negara itu bagi menangani jerebu.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bantuan itu yang diselaraskan beliau dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan digerakkan ke kawasan-kawasan perhutanan di sekitar Palembang dan Selatan Sumatera.

Beliau berkata TUDM akan menggerakkan aset Bombardier CL415MP yang boleh bergerak di darat dan air untuk misi ke Indonesia.

“Pasukan Malaysia bersama pesawat Bombardier siap sedia diterbangkan ke Indonesia petang ini, bergantung kepada koordinasi bersama Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Koordinasi Transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata pesawat itu berkeupayaan menjatuhkan 6,137 liter air dalam tempoh 12 saat ketika terbang dengan kelajuan 130km per jam di kawasan sasaran yang ditentukan pihak berkuasa Indonesia.

Katanya buat masa ini, fokus bantuan yang dipohon Indonesia adalah melibatkan sebuah pesawat yang berkeupayaan memadamkan kebakaran di kawasan yang luas.