Malaysia harap LTMS-PIP berjaya

Malaysia harap LTMS-PIP berjaya

KOTA KINABALU, 28 Mei (Bernama) – Malaysia berharap dapat mencatat kejayaan dalam perbincangan mengenai Projek Integrasi Tenaga Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura (LTMS-PIP) pada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN ke-33 mengenai Tenaga dan mesyuarat berkaitan (SOME ke-33) di sini.

Bagaimanapun Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata negara peserta projek perintis bagi perdagangan tenaga rentas sempadan itu perlu menstabilkan grid kuasa sedia ada sebelum eksport tenaga ke negara-negara lain dilaksanakan.

“Kita perlu mempunyai grid yang bertepatan dalam negara terlebih dahulu sebelum kita boleh mengeksport antara satu sama lain dalam lingkaran ASEAN.

“Malaysia sedang memantau rapat Grid Tenaga ASEAN memandangkan kita berada di tengah-tengah lingkaran ASEAN,” katanya pada majlis makan malam SOME di sini pada Rabu.

Ongkili juga menggesa negara peserta LTMS-PIP membuat susulan bagi memastikan projek itu berjaya.

Beliau berkata kejayaan pelaksanaan projek itu akan meningkatkan aktiviti ekonomi di negara berkenaan dan menyumbang kepada pelaburan yang lebih besar untuk rantau ASEAN secara menyeluruh.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), yang diketuai Setiausaha Agung Loo Took Gee, mempengerusikan SOME dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan, selama lima hari di sini hingga Sabtu.

Mesyuarat dan perbincangan juga akan diadakan bersama rakan dialog seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan dan Rusia, serta Agensi Tenaga Antarabangsa.

SOME kali ini juga akan memberi keutamaan kepada perbincangan mengenai fasa pertama Pelan Kerjasama Tindakan Tenaga ASEAN (2016-2025).

ARTIKEL YANG SAMA