Malaysia harap presiden baru AS terima TPP

Malaysia harap presiden baru AS terima TPP

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) – Malaysia berharap Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu akan menerima Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) walaupun negara itu kini berdepan dengan retorik anti-perjanjian tersebut yang timbul daripada kempen pilihan raya presiden yang sedang berlangsung sekarang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed percaya bakal presiden negara itu akan menukar fikiran dan menyokong TPP setelah dilantik.

Beliau menegaskan penyertaan AS amat penting dalam TPPA kerana negara berkenaan merupakan peneraju utama kepada perjanjian perdagangan mega itu.

“Sekarang ada sedikit sebanyak ketidaktentuan dengan apa yang berlaku di AS.

Sekarang ini waktu kempen untuk Pilihan Raya Presiden AS 2016. Semasa kempen, calon-calon mahu dapatkan sokongan.

“Tapi kita berpendapat bahawa Kongres Amerika akan bersetuju dengan TPPA,” beliau berkata demikian kepada Bernama dan TV3 ketika ditemui selepas taklimat khas TPP dan soal jawab bersama penuntut Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman hari ini. AS akan mengadakan pilihan raya presiden pada awal November, dengan pelantikan presiden baharu pada Januari 2017.

Perjanjian perdagangan itu, yang mendapat kritikan di Malaysia serta negara-negara peserta lain berikutan bab-bab yang sensitif, ditandatangani pada 4 Feb, 2016 di New Zealand oleh menteri-menteri perdagangan dari negara-negara yang terlibat.

ARTIKEL YANG SAMA