Malaysia harap proses damai di Mindanao lancar

Malaysia harap proses damai di Mindanao lancar

BATU PAHAT, 3 Sept (Bernama) – Malaysia berharap proses damai di Mindanao akan berjalan lancar dengan kelulusan Undang-Undang Asas Bangsamoro oleh Senat Filipina bulan depan, bagi memastikan keamanan serantau terus terpelihara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata proses damai itu perlu dicapai bagi memastikan keamanan di kawasan bergolak itu dapat terus dikecapi.

“Undang-undang Asas Bangsamoro mesti diluluskan oleh Senat Filipina, dan saya yakin di bawah kepimpinan Presiden Aquino, kesungguhan politik itu ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Minggu Haluan Siswa untuk pelajar baharu di Universiti Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan kebimbangan pelbagai pihak mengenai kemungkinan berlaku huru-hara di kawasan berkenaan, yang boleh berlarutan ke seluruh rantau ASEAN sekiranya proses meluluskan undang-undang itu tergendala.

“Cuma, sama ada perkara ini diluluskan Oktober ini (atau sebaliknya), ia mungkin peluang terakhir kepada kita untuk mencari penyelesaian atau keamanan dan pendamaian di Mindanao.

“Saya bimbang jika pada Oktober, ia tidak diluluskan, ia boleh mencetuskan sesuatu yang kita tidak boleh kawal,” kata Hishammuddin.

Beliau turut berharap peperangan yang pernah tercetus di kawasan bergolak itu 11 tahun lepas, tidak berulang kerana ia boleh menggugat keharmonian dan keamanan di seluruh rantau ASEAN.

Ditanya sama ada Malaysia membuat persiapan menghadapi sebarang kemungkinan ancaman keselamatan terhadap negara, beliau menegaskan kerajaan Malaysia telah membuat persediaan ke arah itu terutamanya di Sabah.

Pada Jun lepas, Duta Besar Filipina di Malaysia J Eduardo Malaya dipetik sebagai berkata undang-undang itu akan memainkan peranan penting dalam memberi pengiktirafan terhadap entiti politik Bangsamoro, maka kelulusannya perlu disegerakan.

Peranan Malaysia dianggap instrumental dalam pemudah cara rundingan damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), iaitu kumpulan pemberontak Islam terbesar di Filipina, sejak 2001.