Malaysia hargai budi Brunei

Malaysia hargai budi Brunei

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam akan mengadakan upacara menaikkan bendera Malaysia esok (31 Ogos) dan majlis resepsi pada sebelah malamnya bagi menyambut Hari Kebangsaan Malaysia ke-58 tahun.

Serentak dengan sambutan Hari Kebangsaan itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Abang Sahak bin Abang Salleh yang mewakili Pejabat Surahanjaya Tinggi Malaysia di sini mengambil peluang untuk menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih kepada kerajaan dan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas bantuan dan kerjasama yang telah diberikan kepada kerajaan Malaysia.

Dalam perutusan itu, Tuan Yang Terutama juga menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih kerajaan Malaysia atas sumbangan berjumlah $500,000 oleh kerajaan Baginda Sultan kepada mangsa banjir Malaysia dan bantuan daripada Tabung Kemanusiaan bagi Mangsa Banjir Malaysia berjumlah $491,127.63 yang telah dilancarkan mulai 10 Januari hingga 9 April 2015.

“Hubungan dua hala antara kerajaan Malaysia dan Negara Brunei Darussalam adalah sesuatu yang istimewa yang dijalin dengan sejarah silam dan adat yang dikongsi bersama kedua-dua negara, termasuk kedaulatan raja-raja Melayu,” ujar beliau.

Hubungan yang erat itu diperkukuhkan lagi dengan pertukaran lawatan-lawatan peringkat tertinggi antara kerajaan kedua-dua buah negara sepanjang tahun, terutama perkenan Baginda Sultan bercemar duli untuk mengadakan tiga lawatan ke Malaysia sepanjang tahun ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 serta ke upacara pertabalan Sultan Johor Darul Takzim dan Sultan Perak Darul Ridzuan.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak juga telah mengadakan lawatan ke negara ini untuk menghadiri Mesyuarat Kerjasama Tahunan Negara Brunei Darussalam dan Malaysia ke-19 pada awal bulan ini.

ARTIKEL YANG SAMA