Malaysia ikrar bantu laksana bantuan kemanusiaan

Malaysia ikrar bantu laksana bantuan kemanusiaan

PUTRAJAYA, 10 Dis – Malaysia berikrar akan terus memainkan peranan membantu masyarakat antarabangsa melaksanakan bantuan kemanusiaan, kata Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Semasa menghadiri Debat Umum Persidangan Antarabangsa ke-32 Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di Geneva, Switzerland beliau berkata Malaysia telah memperluaskan bantuan kemanusiaan dalam bentuk bantuan kewangan, sokongan material, mencari dan menyelamat dan penempatan pasukan perubatan di pelbagai negara.

“Malaysia merupakan satu daripada enam tuan rumah Depot Tindak Balas Kemanusiaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRD),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Rohani berkata Malaysia mengulangi komitmen teguh terhadap prinsip asas Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah iaitu kemanusiaan, tidak memihak, berkecuali, bebas, khidmat sukarela, perpaduan dan universal.

“Dalam era politik global dan persekitaran yang semakin mencabar, perseteruan dan berbahaya, kemanusiaan telah diuji. Malaysia percaya prinsip-prinsip kemanusiaan ini akan menterjemah wacana kita kepada tindakan efektif dan bermakna di peringkat pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata pengukuhan undang-undang kemanusiaan antarabangsa menjadi suatu keperluan berikutan skala penderitaan yang berterusan dan meluas terutamanya dalam konteks situasi dan skop konflik bersenjata masa kini.

Sehubungan itu Rohani memberitahu satu pendekatan sistematik dan rasional diperlukan, dipandu oleh badan bukan politik, bukan kontekstual, bertema secara semula jadi yang universal, tidak memihak dan tidak memilih. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA