Malaysia, India bincang kerjasama sektor perubatan

NEW DELHI, 11 Jan – Para pegawai kerajaan India dan Malaysia telah mengadakan perbincangan di sini pada Rabu bagi mempertingkat kerjasama dalam sektor perubatan tradisional dengan memfokus kepada perkongsian pengetahuan.

Kementerian Ayurveda, Yoga, Naturopati, Unani, Siddha dan Homeopati (AYUSH) India telah menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut kementerian itu, delegasi Malaysia telah melahirkan minat terhadap program pembinaan kapasiti bagi membolehkan pakar mereka “memahami parameter analitik” berkaitan perubatan India dan kursus “panchakarma” di India.

Panchakarma, satu set terapi yang dikatakan mampu membersihkan tubuh daripada toksin, dianggap sebagai bahagian penting dalam sistem perubatan tradisional India iaitu Ayurveda.

Kedua-dua pihak membincangkan pewujudan satu kerusi ayurveda di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), yang mengandungi latihan profesional dalam terapi panchakarma untuk pakar Malaysia di India, penilaian keselamatan serta keberkesanan gabungan produk ayurveda dan tradisional untuk ujian klinikal, serta pendaftaran pengamal homeopati dan modul pembinaan kapasiti mereka di Malaysia. – Bernama