Malaysia, Indonesia bersama kembangkan bahasa

Malaysia, Indonesia bersama kembangkan bahasa

JAKARTA, 17 Dis – Kerajaan Indonesia dan Malaysia perlu bersama-sama membetulkan hala tuju pengembangan Bahasa Melayu dan Indonesia supaya menjadi bahasa peringkat global, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata dengan usaha bersama itu, sekali gus kedua-dua buah negara dapat memelihara keaslian bahasa agar tidak hilang diresapi Bahasa Inggeris.

Rais berkata cabaran bahasa di kedua-dua buah negara sekarang ialah masalah penyerapan bahasa Inggeris sehingga keindahannya telah dirosakkan menyebabkan sifat asalnya berubah.

“Apabila Bahasa Inggeris masuk secara keterlaluan, maka sifat bahasa Melayu dan Indonesia itu akan berubah terus. Suatu hari nanti jika kita tidak memperbetulkan arah tuju bahasa kita, maka kita akan kehilangan keasliannya. Jika ini berlaku, bangsa kita tidak lagi dikenali melalui bahasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rais berkata demikian ketika berucap selepas menerima Anugerah Mahaputra Antara yang dianugerahkan oleh agensi berita Indonesia, Antara di sini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA