Malaysia-Indonesia meterai MoU Perumahan mampu milik

Malaysia-Indonesia meterai MoU Perumahan mampu milik

JAKARTA, 2 Ogos – Tiga syarikat Malaysia, Sime Darby Bhd, I&P Group Sdn Bhd dan SP Setia (Indonesia) Sdn Bhd, bekerjasama dengan PT Hanson International Tbk dari Indonesia untuk membangunkan bersama projek perumahan mampu milik di sini.

Projek tersebut dengan nilai pembangunan kasar RM3.5 bilion di kawasan seluas 500 hektar, terletak di Maja, Tangerang, kira-kira 80 kilometer dari Jakarta.

Satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai hari ini antara syarikat-syarikat tersebut di luar acara Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-12 di sini.

Permeteraian itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Pengerusi WIEF Tun Musa Hitam.

PT Hanson ialah satu daripada pemaju hartanah terbesar di Indonesia dari segi simpanan tanah yang memiliki lebih 3,500 hektar tanah di Jakarta.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (kanan) ketika hadir pada Majlis Perasmian Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-12 (WIEF Ke-12). Datuk Seri Najib telah menyaksikan pemeteraian antara syarikat Malaysia dan Indonesia untuk membangunkan bersama projek perumahan mampu milik di sini di luar acara WIEF semalam. – Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (kanan) ketika hadir pada Majlis Perasmian Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-12 (WIEF Ke-12). Datuk Seri Najib telah menyaksikan pemeteraian antara syarikat Malaysia dan Indonesia untuk membangunkan bersama projek perumahan mampu milik di sini di luar acara WIEF semalam. – Bernama

Empat syarikat itu dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, cadangan projek tersebut terletak berdekatan perbandaran sedia ada, Citra Maja Raya, yang memulakan pembangunan pada 2015.

Citra Maja Raya dibangunkan oleh PT Hanson secara kerjasama dengan Ciputra Group, satu daripada pemaju terbesar Indonesia.

Sime Darby ialah konglomerat terbesar Malaysia dari segi nilai pasaran dengan operasi di lebih 26 negara.

S P Setia (Indonesia) Sdn Bhd ialah anak syarikat milik penuh S P Setia Bhd, pemaju hartanah terbesar Malaysia dari segi nilai pasaran dengan operasi serantau meliputi negara-negara seperti Australia, Singapura, Vietnam, China dan United Kingdom.

I&P Group pula ialah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB). Kumpulan itu merupakan antara segelintir pemaju utama di Malaysia dengan pe-ngalaman lebih 50 tahun dalam pembangunan perbandaran dan terkenal dengan binaan berkualiti dan rekod prestasi yang baik.

Ia telah membangunkan lebih 60 perbandaran di Malaysia dan ketika ini sedang aktif membangunkan 13 perbandaran dan lima pembangunan perbandaran masa depan yang tertumpu terutamanya di Lembah Klang dan Johor Baharu.

Sementara itu, di bawah MoU tersebut, syarikat-syarikat terbabit bercadang membentuk usaha sama yang mana entiti Malaysia akan mempunyai kepentingan ekuiti 20 peratus setiap satu, manakala baki selebihnya dipegang oleh PT Hanson. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA