Malaysia-Indonesia muktamad MoU penubuhan CPOPC

Malaysia-Indonesia muktamad MoU penubuhan CPOPC

PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) – Menteri Malaysia dan Indonesia bertemu di sini pada Khamis bagi memutamadkan memorandum persefahaman (MoU) bagi penubuhan majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengetuai delegasi Malaysia pada Mesyuarat Peringkat Menteri mengenai penubuhan CPOPC, manakala Indonesia diketuai Menteri Koordinasi bagi Hal Ehwal Maritim Rizal Ramli.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari Jumaat, kedua-dua negara akan menjadi negara pengasas majlis berkenaan.

Malaysia dan Indonesia bersetuju menubuhkan CPOPC semasa pertemuan antara Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Bogor, Indonesia pada 11 Okt lepas.

Malaysia dan Indonesia kini menyumbang 85 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dunia. Negara lain yang menanam sawit termasuk Thailand, Papua New Guinea, Nigeria, Colombia dan Liberia.

Menurut kenyataan itu, skop CPOCP termasuk mempromosi perundingan pembangunan industri minyak sawit dalam kalangan pemegang kepentingan di negara penanam sawit.

Ia juga termasuk menggalakkan kerjasama dan pelaburan dalam sektor pembangunan zon industri minyak sawit mampan dan mesra alam, termasuk zon ekonomi hijau, selain melaksanakan aktiviti dan fungsi yang dikehendaki untuk kepentingan industri minyak sawit.