Malaysia, Jepun harus perkukuh dasar pandang ke Timur 2.0

Malaysia, Jepun harus perkukuh dasar pandang ke Timur 2.0

TOKYO, 3 April (Bernama) – Malaysia dan Jepun harus memperkukuhkan hubungan dua hala dalam gelombang Dasar Pandang ke Timur atau LEP 2.0, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurutnya, Malaysia dan Jepun ibarat ‘dua sahabat lama’ yang mempunyai satu persamaan ‘semangat muda’ apabila bersetuju mengkaji semula LEP sejak Malaysia melancarkannya pada 1982.

“Selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak ke Jepun pada Mei 2015, kedua-dua pihak mendapati banyak bidang boleh diperkasakan,” kata Tuanku Syed Faizuddin.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucaptama di hadapan lebih 3,000 hadirin pada majlis ‘Matriculation Ceremony For Academic Year 2016’ Josai International University (JIU) di kampus keduanya di Togane, Chiba Prefecture, di sini, semalam.

Hadir sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Tuanku Syed Faizuddin (tiga, kanan) dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (dua, kanan) terpesona dengan persembahan paluan gendang selepas majlis resepsi pendaftaran lima pelajar tajaan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) di Josai International University (JIU) pada Sabtu. – Bernama
Tuanku Syed Faizuddin (tiga, kanan) dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (dua, kanan) terpesona dengan persembahan paluan gendang selepas majlis resepsi pendaftaran lima pelajar tajaan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) di Josai International University (JIU) pada Sabtu. – Bernama

Ketiba Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis disambut Canselor JIU Dr Noriko Mizuta dan Presidennya Prof Hakuo Yanagisawa.

Kedua-dua tetamu Diraja itu diundang khas oleh JIU sempena penerimaan masuk lima pelajar tajaan YTF yang mengikuti program Kepimpinan Wanita di universiti itu, selama setahun.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin universiti di Jepun dan rakan di Malaysia boleh memperkasakan program pertukaran pelajar dan pensyarah serta mengiktiraf pemindahan kredit antara institusi bagi menambah nilai program pertukaran.

“Saya ingin cadang satu tabung biasiswa atau bantuan untuk pelajar Jepun yang melanjutkan pengajian di Malaysia.

Mungkin dimulakan dengan pemberian perjalanan atau saintifik bagi pelajar subjek kritikal yang mampu menyumbang kepada masyarakat Malaysia.

“Tindakan ini bertujuan merangsang penerokaan akademik dan saintifik yang menyokong pembangunan kemahiran berasaskan pengetahuan,” ujarnya.

Menurutnya, kerjasama berterusan kerajaan Jepun dan Tourism Malaysia, melalui program ‘Edu-Tourism’ yang mempromosi pendidikan Malaysia kepada Jepun, menambah erat hubungan.