Malaysia juara Ibercup 2015

Malaysia juara Ibercup 2015

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) – Skuad bola sepak Bawah 13 (B-13) Malaysia di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Remaja Piala Iber Costa del Sol 2015 di Sepanyol.

Skuad kendalian Lim Teong Kim yang tidak meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan berkenaan, mengalahkan pasukan B-13 Akademi Bola Sepak dari Portugal, Sporting Lisbon, 2-1 pada aksi final di Kompleks Sukan Munoz Perez, Marbella, Sepanyol.

Dua jaringan skuad B-13 negara disumbangkan oleh Luqman Hakim Samsudin pada minit ke-12 dan Mohd Hariz Mansor pada minit ke-48.

Lebih manis, ia adalah kemenangan ke-17 daripada 19 perlawanan yang diharungi oleh skuad B-13 negara selain turut mencatat dua keputusan seri menerusi jelajah Eropah NFDP yang bermula sejak 28 Mei lepas.

Skuad muda negara akan beraksi pada kejohanan sama di Estoril, Portugal daripada 30 Jun hingga 5 Julai ini sebelum pulang ke tanah air.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, menerusi laman Twitter beliau hari ini mengucapkan tahniah kepada skuad B-13 negara di atas pencapaian cemerlang itu.

Beliau turut menghubungi Teong Kim bagi menyampaikan ucapan tahniah kepada skuad muda negara yang terdiri daripada pemain-pemain Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Kuantan, Pahang.

ARTIKEL YANG SAMA