Malaysia juara keseluruhan ACSG 2015

Malaysia juara keseluruhan ACSG 2015

KUALA LUMPUR, 20 Nov (UM) – Malaysia mendominasi Sukan Perkhidmatan Awam ASEAN (ACSG) 2015 apabila memenangi acara futsal dan boling pada hari terakhir semalam untuk menyambar 10 daripada 12 pingat emas yang ditawarkan.

Kontinjen negara menyempurnakan penguasaan mereka dalam kejohanan itu dengan meraih tiga emas, satu daripadanya menerusi skuad futsal yang mengalahkan Brunei 6-1 dalam perlawanan akhir di Pusat Sukan Triways, Shah Alam semalam.

Dua lagi emas disumbangkan oleh pasukan boling dalam acara berpasukan lelaki dan wanita di Sunway Pyramid, Subang Jaya.

Dalam acara boling berpasukan lelaki Hafifi Hafiq Roselan, Muhammad Bakri Husain, Mohd. Zul Fauzi Mohamed dan Muhamad Saiful Sairon Sawal meraih kemenangan selepas melakukan 4,940 jatuhan pin iaitu 159 pin mengatasi naib juara Singapura.

Momentum kemenangan diteruskan oleh Nurul Atiqah Ahmad, Siti Nur Syakila Mardyana, Dayang Salina Awang Kaum dan Saudah Hanapiah dalam acara berpasukan wanita apabila mengumpul 4,509 jatuhan pin, berbanding naib juara dari Singapura (4,027 jatuhan pin).

Tan Sri Dr. Ali Hamsa (kanan) menyampaikan trofi kepada Datuk Jamil Salleh (kiri) pada majlis makan malam gala Sukan Perkhidmatan Awam ASEAN (ACSG). – Bernama
Tan Sri Dr. Ali Hamsa (kanan) menyampaikan trofi kepada Datuk Jamil Salleh (kiri) pada majlis makan malam gala Sukan Perkhidmatan Awam ASEAN (ACSG). – Bernama

Hasrat kontinjen negara untuk menambah satu lagi pingat emas bagaimanapun disekat oleh Indonesia yang menewaskan Malaysia 3-1 dalam acara pingpong berpasukan di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Ketua Kontinjen negara, Datuk Zaiton Othman menyifatkan, kejayaan yang dilakar oleh Malaysia dalam ACSG edisi pertama itu cukup membanggakan.

“Kami tetapkan sasaran tujuh emas daripada 12 pingat emas yang dipertandingkan, tetapi tak sangka dapat 10. Ini satu kejayaan membanggakan.

“Tetapi, yang paling penting adalah objektif temasya ini dianjurkan, iaitu kita nak jalinkan hubungan lebih erat dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Saya harap ACSG dapat diteruskan pada masa akan datang,” kata Zaiton, yang juga Pesuruhjaya Sukan.

Sebanyak lima sukan dipertandingkan dalam temasya tersebut iaitu futsal, badminton, boling, pingpong dan golf yang disertai lebih 550 penjawat awam dari 10 negara ASEAN.