Malaysia kekal lokasi pilihan pelaburan

Malaysia kekal lokasi pilihan pelaburan

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) – Malaysia kekal sebagai lokasi pilihan pelaburan di rantau ini dalam kalangan pelabur asing berikutan impak faktor dalaman sudah berkurangan dengan ketara setakat ini tahun ini, kata Affin Hwang Asset Management Bhd.

Pengarah Urusan/Pengarah Eksekutifnya Teng Chee Wai, berkata penyelesaian pelan rasonalisasi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai contoh, telah meningkatkan sentimen positif.

“Pelabur asing yakin terhadap prestasi pasaran jangka panjang Malaysia,” katanya kepada Bernama pada Forum Pelaburan 2016 di sini hari ini.

Dilaporkan bahawa pelabur asing membeli saham bernilai RM6.4 bilion di Bursa Malaysia pada minggu 22 April.

Pelan rasionalisasi 1MDB antara lain melibatkan ‘hutang untuk pertukaran aset’ dengan International Petroleum Investment Company, penjualan ekuiti dalam Edra Energy dan Bandar Malaysia, jualan tanah utama di Tun Razak Exchange selain pelupusan aset bukan teras.

Kementerian Kewangan juga mengumumkan aset dan anak syarikat 1MDB akan dipindahkan kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan ahli lembaga pengarah dibubarkan, seperti yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Mengenai usaha meningkatkan daya saing Malaysia di rantau ini, beliau berkata dasar bersesuaian merupakan faktor penting untuk bersaing dengan negara jiran, terutama Thailand.

Teng berkata Thailand sebagai contoh, sudah menjadi Detroit pengeluaran kereta di ASEAN susulan pengenalan dasar cukai utama.

Beliau bagaimanapun berkata Malaysia memiliki semua kelebihan untuk bersaing, sama ada dari segi pendidikan, profil umur atau demografi selain peraturan dan undang-undang serta kerajaan yang stabil.