Malaysia kekal pendekatan fleksibel

Malaysia kekal pendekatan fleksibel

SINGAPURA, 18 Julai – Malaysia kekal menggunakan pendekatan fleksibel tradisional dalam mengendalikan sebarang pertikaian termasuk di Laut China Selatan (LCS), menurut seorang ahli akademik.

“Ada kalanya, kami bersuara lantang apabila kami merasakan yang kami terlalu diasak. Namun pada kebanyakan masa, kami cuba menyelesaikan perkara itu secara tertutup, secara baik,” kata Oh Ei Sun kepada pemberita Malaysia hari ini.

Felo Kanan di Rajaratnam School of International Studies itu ditanya sama ada Malaysia perlu bersuara lebih lantang berhubung pendiriannya berkaitan pertikaian di Laut China Selatan.

“Alasan bagi semua itu sudah jelas adalah kerana Malaysia menghargai hubungannya dengan China secara keseluruhan,” katanya semasa ditemui di luar Seminar Kumpulan Pemikir mengenai Laut China Selatan dan Kerjasama dan Pembangunan Serantau yang diadakan di sini.

Malaysia ialah antara empat negara ASEAN yang mengemukakan tuntutan ke atas kawasan di Laut China Selatan.

Oh, yang juga bekas setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil perhatian bahawa China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia manakala Malaysia juga ialah rakan perdagangan terbesar China di Asia Tenggara.

Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah kira-kira RM390 bilion setakat 2015.

“Susulan daripada hubungan perdagangan yang amat rapat itu, adalah amat sukar bagi Malaysia mengambil pendirian untuk bertindak menentang China. Kami akan bertindak apabila kami merasakan yang kedaulatan kami telah dicerobohi.

“Tetapi kami tidak akan mengambil pendekatan sepertimana Filipina dan Vietnam yang secara proaktif cuba melawan China,” katanya.

Pada 12 Julai, Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague membuat keputusan yang tidak memihak kepada China berhubung pertikaian maritim dengan Filipina.

China berkata ia tidak menerima atau mengiktiraf keputusan tribunal timbang tara itu yang dibuat atas permintaan Filipina.

Malaysia, menurutnya, percaya semua pihak relevan dapat menyelesaikan pertikaian itu secara baik dengan cara menghormati sepenuhnya proses diplomatik dan undang-undang dan undang-undang antarabangsa relevan.

Oh berkata Malaysia juga menghargai hakikat bahawa seorang daripada pemimpin China telah menggesa semua pihak mengetepikan pertikaian itu buat sementara waktu dan fokus terhadap penerokaan dan pembangunan bersama.

“Kami mengambil maklum perkara itu … dan saya fikir ia merupakan pendirian utama Malaysia. Kami sepatutnya mengetepikan pertikaian itu kerana kami tidak dapat menyelesaikan pertikaian kawasan seumpama itu sepanjang hayat kami.

“Jika anda fokus kepadanya … ia akan menjejaskan hubungan secara keseluruhannya. Oleh itu, cuba lakukan lebih banyak mekanisme membina keyakinan.

Ini lebih membantu dari segi menyelesaikan pertikaian ini untuk jangka masa panjang,” katanya. –Bernama