Malaysia kukuh untuk hadapi tekanan ke atas ringgit

Malaysia kukuh untuk hadapi tekanan ke atas ringgit

KUALA LUMPUR – Pada Julai 1997, Ekonomi Asia Timur, termasuk Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Malaysia merudum apabila mata wang dan saham mereka jatuh teruk berikutan aktiviti spekulasi berlebihan yang menjerumuskan mereka ke dalam krisis kewangan yang serius.

Tidak seperti ekonomi lain, Malaysia enggan menerima bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa dan sebaliknya melaksanakan langkah radikal seperti kawalan modal yang ketat dan menambat ringgit kepada RM3.80 dolar US selepas ia jatuh ke paras terendah dalam sejarah iaitu, RM5.20 berbanding dolar pada 1998.

Secara praktikalnya ia menamatkan dagangan ringgit Malaysia di seberang laut, menghentikan spekulasi berisiko ke atas mata wang itu dan membolehkan penstrukturan semula hutang korporat yang besar, membawa kepada kestabilan kewangan di rantau ini.

Lama sebelum krisis pada 1997, ringgit diniagakan pada paras tinggi RM2.42 berbanding dolar US.

Apabila ekonomi kembali kukuh, tambatan itu ditarik balik pada 2005 tetapi ringgit kekal sebagai mata wang yang tidak diniagakan di peringkat antarabangsa dan hanya diniagakan dalam apungan terurus dalam negara. Dalam lain perkataan, selepas 2005 ringgit hanya boleh diniagakan di Malaysia, pembeli atau penjual sama ada menjadi institusi kewangan berlesen tempatan dan perniagaan itu mesti disokong oleh sama ada perdagangan sebenar atau pelaburan. Bagaimanapun, pada 11 November lalu, senario suram 1997 sekali lagi mula menghantui pasaran mata wang Malaysia apabila ringgit bersama beberapa mata wang pasaran sedang muncul lain terjejas teruk dan pasaran saham jatuh mendadak walaupun puncanya berbeza daripada sebelum ini.

Tetapi faktor sama yang menjejaskan pasaran kewangan masih lagi ‘spekulator’ – terutama mereka yang mengambil risiko tinggi dalam dagangan yang mengambil kesempatan daripada kejatuhan dan kelemahan.

Ini adalah apa yang sebenarnya berlaku pada hari Donald Trump memenangi pilihan raya Amerika Syarikat yang membuatkan pasaran Asia merudum berikutan komen beliau mengenai perjanjian perdagangan yang dianggap sebagai pelindung perdagangan dan kebimbangan mengenai kesan negatif ke atas dunia di sebelah sini. Ini adalah keadaan yang sempurna yang menawarkan apa yang dipanggil ‘parti’ untuk spekulator.

Disebabkan pasaran pertukaran asing Malaysia dikawal selia dan hampir tidak memberi ruang langsung kepada spekulasi, dana pelindung nilai dan pelabur bukan residen beralih kepada pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) atau pasaran luar pesisir tidak rasmi di mana ringgit jatuh mendadak kepada serendah RM4.55 bagi setiap dolar US yang menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) campur tangan.

Sehingga 11 November, tidak ramai yang menyedari kewujudan NDF, yang mewujudkan kekeliruan dan malah sebahagian pengurup wang dikatakan menyebut harga kadar luar pesisir tidak rasmi tersebut bagi transaksi mereka. Bank pusat itu mengarahkan pasaran mengetepikan kadar NDF dan menetapkan harga ringgit berdasarkan kadar mata wang itu yang didagangkan kali terakhir pada Khamis sebagai tindakan menghalang kadar luar pesisir daripada menentukan pergerakan ringgit dalam negara dan seterusnya meningkatkan lagi spekulasi.

BNM bagaimanapun menjelaskan ia hanya saranan sekali dan bukan sesuatu yang ia akan lakukan setiap hari kerana Malaysia kekal sebagai ekonomi terbuka. Bank pusat itu juga bertindak tegas ke atas bank asing dengan meminta melalui bank dalam negara yang mana-mana bank bukan residen yang berniaga dalam pasaran pertukaran asing untuk membuktikan mereka tidak terlibat dan tidak akan terlibat dalam transaksi berkaitan NDF. Seminggu selepas itu, iaitu pada 18 November, ringgit kekal pada trend menurun walaupun lebih perlahan seiring dengan mata wang serantau kerana sentimen kekal gelisah mengenai kemungkinan dasar Trump dengan pihak berkuasa di pasaran sedang muncul mengambil langkah secara konsisten menangani turun naik. Ringgit ditutup kira-kira tiga peratus lebih rendah kepada 4.4140/4190 berbanding ketika ditutup Jumaat lepas di tengah-tengah kemungkinan kenaikan kadar faedah AS lebih ketara daripada sebelum ini, yang akan meningkatkan lagi aliran keluar dana daripada seluruh dunia ke dalam AS.

Ringgit sebagaimana mata wang pasaran sedang muncul lain, akan terus menjadi ‘tebusan’ kepada kekukuhan dolar US dan peningkatan kadar faedah AS ketika pasaran memantau dan mencerna ucapan serta tindakan Trump, kata Affin Hwang Capital dalam satu nota penyelidikan. Tanggungjawab itu tidak beralih ke arah bagaimana bank-bank pusat global memberi tindak balas kepada ancaman terhadap mata wang mereka ketika penghujung tahun semakin hampir dan kecairan pasaran bertambah merosot, katanya.

Bagi pasaran NDF pula, ia memberi cabaran bukan sahaja kepada pihak berkuasa Malaysia tetapi juga ekonomi sedang muncul lain kerana mereka adalah saluran untuk memudahkan dana yang sering dipindah antara institusi kewangan atau sering disebut sebagai ‘wang panas’. Malangnya, tidak ada masa untuk berehat daripada ‘pertempuran’ dengan pasaran NDF yang beroperasi di luar bidang kuasa negara, tidak telus tetapi mempunyai kesan ketidakstabilan ke atas pasaran dalam negara. Ia satu sentimen yang dikongi BNM dengan bank pusat serantau yang lain.

Antara persoalan yang ditimbulkan semasa taklimat media baru-baru ini dengan BNM ialah sama ada situasi tersebut membolehkan bank pusat itu menambat semula ringgit kepada dolar US sebagai penampan atau pun didagangkan di peringkat antarabangsa.

Penolong Gabenor Bank Negara, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, walaupun bank pusat itu memiliki rizab lebih tinggi dan kuasa kawal selia lebih besar berbanding 1997/98 bagi menahan daripada sebarang spekulasi, perkiraan semasa untuk apungan terurus memenuhi matlamat itu dan menyokong ekonomi negara. Beliau menegaskan yang walaupun NDF atau pasaran luar pesisir tidak boleh dikawal, BNM mempunyai kuasa yang diperlukan untuk membendung sebarang kesan limpahan ke atas pasaran dalam negara.

“Kita boleh menguruskannya, tekanan seumpama itu datang dan pergi,” katanya dengan menjelaskan yang bank-bank tersebut tetap mematuhi arahan BNM, yang dalam keadaan ini bermakna mengetepikan kadar luar pesisir. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA