Malaysia lulus pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton

Malaysia lulus pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) – Kerajaan hari ini meluluskan permohonan Proton untuk mendapatkan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata sebahagian besar daripada pinjaman itu adalah untuk membolehkan pengeluar kereta nasional tersebut membuat pembayaran kepada vendor yang membekalkan komponen kepadanya.

Beberapa syarat turut dikenakan kepada Proton untuk memulihkan perniagaan, katanya.

“Antara syaratnya, Proton perlu meyakinkan kerajaan mengenai model perniagaan baharunya supaya perniagaan berdaya maju dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Secara khususnya, Mustapa berkata Proton antara lain perlu mewujudkan pelan penstrukturan semula syarikat itu serta menyediakan pelan strategik untuk memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara.

Gambar fail bertarikh 3 April 2016 menunjukkan Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua, kanan) berbual dengan penerima anugerah pada Majlis Penyampaian Anugerah eUsahawan Cemerlang Jeli 2015 di pusat Rehat dan Rawat (RnR) Gemang. - Bernama
Gambar fail bertarikh 3 April 2016 menunjukkan Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua, kanan) berbual dengan penerima anugerah pada Majlis Penyampaian Anugerah eUsahawan Cemerlang Jeli 2015 di pusat Rehat dan Rawat (RnR) Gemang. – Bernama

Selain itu, Proton juga perlu mendapatkan rakan kongsi asing terkemuka yang akan membantu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menjadi syarikat yang berdaya maju serta berdaya saing di peringkat antarabangsa, katanya.

Beliau berkata, sebuah pasukan petugas yang diketuai oleh Ketua Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala akan ditubuhkan untuk memastikan program transformasi ini berjaya.

Mustapa berkata selain daripada memastikan syarat-syarat pinjaman mudah dipatuhi, pasukan petugas ini juga dikehendaki meneliti model perniagaan Proton pada masa lepas, mengenal pasti kelemahan serta langkah untuk mengatasinya.

ARTIKEL YANG SAMA