Malaysia mahu...

Malaysia mahu DNA keluarga Kim

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Mayat Kim Jong-Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara yang dibunuh, tidak akan diserahkan sehingga keluarganya memberikan contoh DNA, menurut Malaysia hari ini, di sebalik permintaan dari Pyongyang.

Para detektif di Kuala Lumpur berusaha mencari punca pembunuhan yang penuh dengan tipu muslihat ini yang menurut Korea Selatan telah dijalankan oleh ejen-ejen wanita yang menggunakan racun dan mereka itu bekerja untuk jiran utara mereka yang berahsia itu.

Pakar-pakar forensik hari ini menjalankan ujian ke atas contoh-contoh dari mayat lelaki itu untuk cuba memastikan toksin yang telah disembur ke arah muka ketika dia menanti untuk menaiki penerbangan awal minggu ini.

Para diplomat Korea Utara telah menentang pemeriksaan bedah siasat, menurut para pegawai Malaysia, tetapi Kuala Lumpur bertegas dan hari ini berkata ia tidak menyerahkan mayat itu sehingga prosedur-prosedur selesai.

“Setakat ini tidak ada anggota keluarga atau waris dekat tampil untuk mengenal pasti atau menuntut mayat. Kami perlukan contoh DNA anggota keluarga untuk dipadankan dengan profil si mati,” ketua polis negeri Selangor Abdul Samah Mat memberitahu AFP.

Media tempatan dan luar negara yang menunggu untuk membuat liputan cuba mendapatkan perkembangan terbaru dari pihak kedutaan berhubung kematian abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Nam kelmarin .– Bernama
Media tempatan dan luar negara yang menunggu untuk membuat liputan cuba mendapatkan perkembangan terbaru dari pihak kedutaan berhubung kematian abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Nam kelmarin .– Bernama

“Korea Utara telah menyerahkan permohonan untuk menuntut mayat itu, tetapi sebelum kami menyerahkan mayat itu kami mesti mengenal pasti identiti si mati,” tambahnya.

DNA dari anak, adik-beradik atau malah adik-beradik tiri – cukup untuk menjadi ‘padanan hubungan kekeluargaan’ dan mengesahkan identiti, seorang penyiasat forensik Malaysia memberitahu AFP.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai keterlibatan ejen khas luar negara dalam kes kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, Isnin lepas.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata siasatan sedang berjalan dan kes itu dianggap rumit.

Beliau berkata demikian kepada Bernama apabila ditanya mengenai kemungkinan pembunuhan itu melibatkan ejen khas luar negara.

Setakat ini polis menahan dua wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes itu.

Mohamad Fuzi bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya latar belakang ketiga-tiga mereka.

Isnin lepas, Jong-nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita dikatakan menekup mukanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol pada pasportnya, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. – AFP/Bernama

ARTIKEL YANG SAMA