Malaysia masih negara strategik untuk melabur

Malaysia masih negara strategik untuk melabur

GUMI, Korea Selatan, 6 Dis – Usahawan Korea Selatan yakin Malaysia masih merupakan negara strategik untuk melabur dalam usaha meneruskan agenda ekonomi kreatif negara itu.

Pengarah Bahagian Penyelidikan Teknologi Perubatan Elektronik Institut Penyelidikan Elektronik dan Teknologi Maklumat Gumi (GERI), Prof Byeong Mun Song berkata Malaysia mempunyai kriteria yang dapat memenuhi hasrat pelabur negara itu.

“Iklim pelaburan di Malaysia masih positif khususnya dari segi kestabilan politik, dasar dan insentif selain kaya dengan sumber terutamanya bahan mentah dan tanah.

“Malaysia, bagaimanapun perlu berusaha kuat untuk menarik pelabur dari Korea Selatan yang mendapat bantuan kerajaan bagi menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua kanan) selaku Canselor Universiti Ma-laysia Perlis (UniMAP) berkenan menyaksikan demontrasi mesin latihan fizikal oleh Ketua Pegawai Eksekutif Man&Tel, Prof Kwang-Wook Jung (dua kiri) ketika melawat ke Gumi Industrial Park di Gyeongbuk, Sabtu. Mengiringi baginda Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin (kanan).  - Bernama
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua kanan) selaku Canselor Universiti Ma-laysia Perlis (UniMAP) berkenan menyaksikan demontrasi mesin latihan fizikal oleh Ketua Pegawai Eksekutif Man&Tel, Prof Kwang-Wook Jung (dua kiri) ketika melawat ke Gumi Industrial Park di Gyeongbuk, Sabtu. Mengiringi baginda Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin (kanan). – Bernama

Terdahulu, beliau menyampaikan taklimat berhubung operasi GERI kepada delegasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diketuai Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut serta Naib Canselor Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin dan pegawai kanan UniMAP.

GERI terletak dalam Taman Industri Gumi di Gyeongbuk, kira-kira 200 kilometer dari Seoul dan lebih 150 kilometer ke Busan iaitu pelabuhan terbesar di Korea Selatan, mengeksport produk keluaran negara itu ke seluruh dunia termasuk Eropah.

Menurut Prof Byeong, penerokaan teknologi baharu oleh syarikat Korea kini menggunakan kaedah ‘penumpuan dan gabungan’ serta lebih kreatif.

“Kami sedia memindahkan teknologi, membangun dan mengeluarkan produk di Malaysia tetapi peringkat akhir perlu dilakukan di sini dan dilabel buatan Korea,” katanya.

Beliau berkata GERI memperuntukkan US$200 juta untuk melaksanakan beberapa projek baharu bagi beberapa tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Man & tel, Prof Dr Kwang-Wook Jung berkata syarikat Korea memerlukan kawasan baharu yang lebih luas dan rakan kongsi yang boleh dipercayai.

“Saya yakin Malaysia adalah tempat yang strategik untuk syarikat Korea mengembangkan pelaburan selain sebagai hab untuk kawasan Asia.

Beliau berkata produk elektrik dan elektronik yang berkaitan dengan telekomunikasi syarikatnya dieksport ke 40 buah negara dan Amerika Syarikat menjadi pasaran utama sejak lima tahun lepas selain Eropah.

Sementara itu, Kamarudin berkata Jung memberi jaminan untuk membantu melaksanakan R&DB (B-perniagaan) dan menambah baik rekaan pelajar universiti itu yang boleh dikomersialkan.

Delegasi UniMAP sebelum itu melawat kilang Samsung, pengeluar telefon selular terkemuka dunia di Taman Industri Gumi.  – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA