Malaysia menuju status negara menua

Malaysia menuju status negara menua

KUCHING, 15 Jan (Bernama) – Malaysia dijangka mencapai status negara berpenduduk menua menjelang 2035 apabila 15 peratus daripada jumlah penduduknya berumur 60 tahun dan ke atas.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan kumpulan ini yang telah mencapai usia persaraan mungkin kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk menjalani gaya hidup yang ringkas dan memuaskan, kata Timbalan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), A. Karuna.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerjanya mengenai perlindungan keselamatan sosial pada persidangan serantau pertama mengenai perkembangan semasa dalam undang-undang pekerjaan di Malaysia dan ASEAN, di sini, baru-baru ini.

Karuna berkata satu kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menganggarkan bahawa lebih 500,000 daripada 2.4 juta warga emas mengalami “sindrom sarang kosong” manakala 90 peratus daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mampu menyara hidup dalam tempoh lima tahun selepas persaraan.

Beliau berkata ini disebabkan oleh kapasiti pendapatan pekerja yang rendah.

Menurut statistik KWSP, pada 2014 hampir 75 peratus daripada pencarum memperoleh berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.