Malaysia minat akan ketegasan Indonesia

Malaysia minat akan ketegasan Indonesia

JAKARTA, 28 Julai – Malaysia berminat untuk mengikuti ketegasan kerajaan republik Indonesia mengambil tindakan radikal menangkap dan membakar kapal-kapal nelayan asing yang menceroboh kawasan perairan negara itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tindakan radikal itu telah menyumbang kepada peningkatan populasi ikan di negara berkenaan seterusnya meningkatkan hasil tangkapan ikan oleh nelayan tempatan.

“Kita melihat tindakan radikal Indonesia sebagai sesuatu yang memberi sumbangan deflasi dan harga ikan juga menjadi murah kerana bekalan yang banyak,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Sidang Kemuncak Perikanan Wilayah Asia Tenggara dan Pasifik di sini semalam.

Katanya, bagaimanapun Malaysia tidak akan menggunakan kaedah membakar kapal yang dirampas kerana ia boleh menyebabkan pencemaran di samping menjejaskan ekosistem hidupan laut.

Beliau berkata tindakan yang diambil oleh Malaysia setakat ini ialah menenggelamkan kapal nelayan asing yang dirampas untuk dijadikan tukun ikan.

Ahmad Shabery berkata pendekatan radikal oleh kerajaan Indonesia adalah hak negara itu dan Malaysia menghormati undang-undang sesebuah negara.

“Jika nelayan kita menceroboh kawasan peraiaran negara lain, kita tidak dapat membela kesalahan mereka dan disebabkan itu kita mewajibkan semua nelayan menggunakan sistem radar bagi mengetahui kedudukan mereka ketika menangkap ikan,” katanya.

Beliau berkata sistem radar itu adalah sebagai bukti sama ada mereka menceroboh kawasan perairan negara lain atau sebaliknya kerana data radar itu dapat dikesan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Nelayan yang tidak memasang radar itu atas alasan rosak sebenarnya tidak dapat diterima oleh pihak berkuasa kerana ia adalah satu daripada kelengkapan yang diwajibkan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA