Malaysia pelabur asing kelapan terbesar di Laos

Malaysia pelabur asing kelapan terbesar di Laos

VIENTIANE, 5 Sept – Malaysia muncul negara pelabur asing kelapan terbesar di Laos menerusi pelaburan berjumlah RM2.3 bilion sejak 2000 hingga 2015.

Duta Besar Malaysia ke Laos Datuk Than Tai Hing berkata pelaburan syarikat Malaysia sedia ada meliputi sektor perkhidmatan perbankan dan kewangan, insurans, pelancongan, pendidikan, pembinaan dan pertanian.

“Ini termasuk pembangunan dua zon ekonomi bebas (SEZ), masing-masing di Vientiane (SEZ Nelamit/Dongphosy) dan di Savannakhet iaitu di selatan Laos (SEZ Savan-Seno).

“Kedua-dua SEZ ini sudah tentunya akan menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Laos pada masa akan datang,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata sempena kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sidang Kemuncak Asean ke-28 dan ke-29 serta Sidang-sidang Kemuncak yang berkaitan di Vientiane, Perdana Menteri akan turut menghadiri sesi perjumpaan dengan komuniti perniagaan Malaysia di Laos pada Selasa (6 September).

Datuk Than Tai Hing menjawab soalan ketika sidang media Persidangan Kemuncak ASEAN Ke-28 dan 29 yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor semalam. Turut hadir Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia Jojie Samuel (kiri). – Bernama
Datuk Than Tai Hing menjawab soalan ketika sidang media Persidangan Kemuncak ASEAN Ke-28 dan 29 yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor semalam. Turut hadir Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia Jojie Samuel (kiri). – Bernama

“Perjumpaan ini akan melibatkan pelabur utama Malaysia yang antara lain terdiri daripada syarikat Malaysia yang beroperasi di Laos dalam projek ikonik dan berpotensi tinggi seperti projek landasan kereta api Koridor Timur-Barat iaitu projek landasan kereta api SEZ Dongphosy, selain syarikat yang terlibat dalam aktiviti Zon Ekonomi serta Nam Pha Hydro Power, sebuah Projek Tenaga Hidro.

Beliau berkata 10 syarikat milik pelabur dari Malaysia akan turut hadir pada sesi taklimat berkenaan. Beliau menambah pada 2015, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Laos bernilai RM106 juta.

“Eksport Malaysia meliputi pakaian dan tekstil, alat ganti kenderaan, bahan galian, barangan elektrik dan elektrikal, bahan kimia, getah asli, minyak sawit dan barangan pembuatan, manakala import Malaysia pula sebahagian besarnya meliputi peralatan komunikasi dan komponen elektrik,” katanya.

Beliau berkata industri pelancongan juga memberikan kesan besar kepada kerjasama diplomatik, ekonomi dan hubungan perdagangan kedua-dua negara.

“Penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Vientiane oleh AirAsia bermula sejak 2007, dan AirAsia juga akan melancarkan penerbangan sulung dari Kuala Lumpur ke Luang Prabang pada hujung tahun ini. Luang Prabang ialah daerah yang mendapat pengiktirafan UNESCO Heritage City, seperti negeri Melaka Bandaraya Bersejarah di Malaysia,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA