Malaysia-Perancis tidak bincang pembelian Mistral

Malaysia-Perancis tidak bincang pembelian Mistral

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) – Malaysia tidak mengadakan perbincangan dengan Perancis mengenai pembelian sebuah kapal pengangkut helikopter Mistral dalam pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Perancis Jean-Yves Le Drian semalam. Perkara sama juga tidak dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatan beliau itu.

Hishammuddin menyatakan perkara itu dalam respons beliau melalui twitter kepada @WanKhairilAmmar yang mengemukakan soalan: “H2O are we purchasing 3 billion warship sir?” (H2O adakah kita akan membeli kapal perang 3 bilion, Tuan?)

Hishammuddin juga merujuk kepada jawapan Le Drian terhadap soalan serupa pada satu sidang akhbar bahawa perkara itu “langsung tidak dibincangkan atau ditimbulkan”.

Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bersama Menteri Pertahanan Perancis pada Mesyuarat Dua Hala Kementerian Pertahanan Malaysia-Perancis di Kementerian Pertahanan semalam. – Bernama
Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bersama Menteri Pertahanan Perancis pada Mesyuarat Dua Hala Kementerian Pertahanan Malaysia-Perancis di Kementerian Pertahanan semalam. – Bernama

Sementara itu, dalam lawatan sehari beliau ke sini, Le Drian mengetuai beberapa wakil industri pertahanan Perancis melakukan kunjungan hormat terhadap Najib di Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya.

Beliau kemudian menghadiri mesyuarat berprofil tinggi dengan Hishammuddin di Wisma Pertahanan di sini dengan kedua-dua menteri itu bersetuju bekerjasama untuk meluaskan perkongsian maklumat risikan bagi menentang ancaman militan IS yang semakin meningkat, terutama di Perairan Sulu.

ARTIKEL YANG SAMA