Malaysia perlu hadapi turun naik ringgit

Malaysia perlu hadapi turun naik ringgit

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Malaysia tidak mempunyai pilihan selain perlu menghadapi keadaan turun naik ringgit sekarang di samping menumpukan untuk meningkatkan asas-asas ekonomi, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani Ghani.

Beliau berkata walaupun Malaysia sebelum ini menambat mata wangnya semasa krisis ekonomi 1997, langkah yang diambil oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidak praktikal dilakukan sekarang dalam keadaan ekonomi global terbuka kerana negara akan kehilangan pertumbuhan ekonominya.

Menurutnya, kerajaan tidak akan menambat mata wang tempatan atau mengenakan kawalan modal meskipun keadaan turun naik sekarang dan sudah tentunya tidak akan menaikkan kadar faedah bagi menarik pelaburan asing.

“Tambatan bukan satu pilihan dalam ekonomi terbuka hari ini kerana dunia kini menjadi semakin terbuka…malahan China, negara yang menutup ekonominya 20 hingga 30 tahun lepas kini telah membukakannya kepada dunia.

“Jika kita mahu menjadi sebuah negara maju kita tidak boleh menambat mata wang kita, kita tidak boleh mengenakan kawalan modal kerana jika kita melakukannya sekarang kita akan ketinggalan jauh dan tidak ada orang yang akan melabur di sini,” katanya dalam ucapan beliau semasa program Women Power Talk, Effective Networking the Way Forward, di sini, hari ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA