Malaysia perlu menang ke atas Timor Leste

Malaysia perlu menang ke atas Timor Leste

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) – Skuad bola sepak bawah 23 tahun kendalian jurulatih Datuk Ong Kim Swee perlu mencatat kemenangan pertama menentang Timor Leste dalam saingan Sukan SEA Singapura yang akan berlangsung di Stadium Bishan, di republik itu esok, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau menyifatkan perlawanan esok berpihak kepada skuad negara kerana kelebihan dari aspek prestasi pasukan yang lebih baik daripada Timor Leste.

“Esok mestilah kena menang, Timor Leste bukanlah musuh tradisi kita dalam bola sepak… tetapi saya tidak memandang rendah pada mana-mana negara yang bertanding.

“Sepatutnya kita tiada masalah bertemu Timor Leste,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri kempen ‘Yang Hebat Dahagakan Cabaran’ oleh 100Plus di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu legenda bola sepak dunia, Pele dan pemain Brazil, Oscar selaku duta antarabangsa pertama yang dilantik oleh 100Plus.

Khairy Jamaluddin sewaktu sidang media tersebut. – Bernama
Khairy Jamaluddin sewaktu sidang media tersebut. – Bernama

Sementara itu, 100 Plus turut memberi tajaan lebih RM2 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi menyokong program Bola Sepak Kebangsaan.

Malaysia berdepan laluan sukar selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Thailand, Vietnam, Laos, Brunei dan Timor Leste.

Selepas menentang Timor Leste, skuad negara akan bertemu Vietnam (2 Jun); Thailand (4 Jun); Brunei (8 Jun) sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan berdepan Laos pada 11 Jun.

Kesemua perlawanan Kumpulan B berlangsung di Stadium Bishan manakala aksi Kumpulan A yang melibatkan tuan rumah Singapura, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Kemboja di Stadium Jalan Besar.