Malaysia perlu Pelan Induk STI

Malaysia perlu Pelan Induk STI

KOTA KINABALU, 29 Nov – Malaysia amat memerlukan pelan induk bagi membangunkan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi membolehkan negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang lestari dengan menggunakan sepenuhnya pertumbuhan pesat teknologi maklumat dan komunikasi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata pelan induk seumpama ini diperlukan kerana ia boleh bertindak sebagai pelan strategik STI yang menyeluruh bagi Malaysia dalam tempoh jangka panjang melangkaui tahun 2020.

“Kita perlu sedar bahawa kemakmuran sesebuah negara dalam abad ke-21 ditentukan oleh keupayaan negara berkenaan untuk berinovasi. Inovasi mempunyai kesan lebih besar ke atas rakyat dan ekonomi negara pada kadar dan skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Bersama-sama dengan banyak negara lain, Malaysia telah lama mengiktiraf sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu penting bagi pertumbuhan lestari termasuk menambah baik taraf kehidupan, katanya ketika berucap pada persidangan antarabangsa mengenai Sains Komputasional dan Kejuruteraan di sini hari ini.

Persidangan dua hari anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bermula hari ini dihadiri kira-kira 200 peserta termasuk dari luar negara.

Menurut Madius, pertumbuhan ekonomi bagi kebanyakan negara maju seperti seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan dijana melalui STI dan ia merupakan pemacu ekonomi baharu yang mendorong penghasilan perniagaan baharu, pekerjaan baharu dan mendorong pertumbuhan produktiviti.

Dalam kes Malaysia, beliau berkata jawapannya adalah dengan merumuskan pelan induk STI Nasional bagi menyokong pelaksanaan semua dasar berkaitan dengan STI diputuskan pada mesyuarat sulung Majlis Sains Kebangsaan.

Beliau berkata pelan induk itu menjadi keperluan kerana ia akan menjelaskan pelan tindakan mengenai wawasan, sasaran, langkah-langkah dasar, mekanisme dan sinergistik di semua kementerian dan sektor bagi memajukan STI di Malaysia. “Dengan mempunyai pelan induk STI ini seolah-olah mempunyai hala tuju bagi membangunkan bandar raya pintar bersepadu, terancang yang mengandungi rumah pintar, rangkaian pengangkutan terkini, perusahaan komersial, kemudahan seperti sekolah, hospital, bekalan air yang lestari dan infrastrukur digital dan lain-lain lagi. – Bernama