Malaysia perluas kolaborasi bersama negara ASEAN

Malaysia perluas kolaborasi bersama negara ASEAN

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kementerian Kewangan menjangkakan lebihbanyak kolaborasi masa hadapan dalam sektor lain dengan negara anggota ASEAN, selain daripada perjanjian dua hala pengembangan perbankan yang ditandatangani bersama Indonesia baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong, berkata perjanjian dua hala itu membuka pelbagai peluang kepada bank-bank tempatan untuk mengembangkan subsidiarinya di Indonesia dan sebaliknya.

“Malaysia mengamalkan pasaran terbuka. Ini adalah trend masa hadapan dengan kerjasama yang lebih banyak antara negara-negara tersebut untuk menjana ekonomi mereka,” katanya kepada wartawan selepas perasmian pameran Teknologi Cetak 2016 di sini hari ini.

Acara empat hari itu dianjurkan oleh Kaizer Exhibitions & Conferences Sdn Bhd.

Pada 1 Ogos, Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Indonesia dan Bank Negara Malaysia, menandatangani perjanjian dua hala untuk membolehkan kedua-dua negara mewujudkan subsidiari perbankan dengan keistimewaan domestik.

Perjanjian perbankan itu adalah yang pertama seumpamanya dalam kalangan negara ASEAN.

Sementara itu, Lee berkata perbincangan dengan pihak yang berkepentingan sedang dijalankan untuk mendapatkan maklum balas dan maklumat untuk Bajet 2017.

“Kami sedang berbincang dengan pihak yang berkepentingan. Kami akan mendapatkan maklum balas mereka terlebih dahulu,” katanya.

Di pameran Teknologi Cetak 2016 itu, Pengarah Urusan Kaizer Exhibitions & Conferences, Belle Yam berkata 90 peserta menyertai pameran tersebut, yang menjadi platform untuk mempromosi dan mempamerkan produk daripada pencetak dan pembekal. – Bernama