Malaysia pinjam tapir Malaya kepada Jepun

Malaysia pinjam tapir Malaya kepada Jepun

SEPANG, 4 Dis (Bernama) – Malaysia menghantar sepasang tapir Malaya ke Jepun hari ini untuk dipinjamkan kepada Nagasaki Biopark selama 10 tahun dalam usaha meningkat kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang konservasi hidupan liar terancam.

Tapir jantan bernama Im berumur tiga tahun satu bulan dan tapir betina bernama Bertam yang berumur tiga tahun sembilan bulan akan berlepas pada 9.30 malam ini melalui pesawat Thai Airways dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Fukuoka sebelum dibawa melalui darat ke Nagasaki untuk ditempatkan di Nagasaki Biopark.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyerahkan pasport pasangan tapir Malaya itu sebagai simbolik penyerahan kepada Pengarah Nagasaki Biopark, Tetsufumi Fukuki di Animal Hotel, Kompleks MasKargo KLIA di sini hari ini.

Penyerahan tapir berkenaan adalah susulan daripada perjanjian pinjaman pembiakan Tapir Malaya yang ditandatangani antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Nagasaki Biopark pada Oktober lalu.

Datuk Sri Dr Wan Junaidi bersalaman dengan Pengarah Nagasaki Biopark Tetsufumi Fukuki sebelum melihat proses penghantaran sepasang Tapir Malaya di Kompleks Maskargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam. – Bernama
Datuk Sri Dr Wan Junaidi bersalaman dengan Pengarah Nagasaki Biopark Tetsufumi Fukuki sebelum melihat proses penghantaran sepasang Tapir Malaya di Kompleks Maskargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam. – Bernama

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan itu, Wan Junaidi berkata empat pegawai Perhilitan turut mengiringi pasangan tapir itu ke Jepun untuk berkongsi pengalaman tentang penjagaan tapir selain menimba ilmu baru dari Nagasaki Biopark selama sebulan.

“Jika pasangan tapir ini mendapat anak di Nagasaki Biopark, anak tapir Malaya berkenaan adalah milik Malaysia dan akan dihantar pulang ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu Fukuki menerusi jurubahasa berkata Nagasaki Biopark sudah bersedia untuk menawarkan ‘pengalaman berbulan madu’ kepada Im dan Bertam.

“Kesemua pengurusan dokumen selepas ketibaan pasangan tapir Malaya di Jepun sudah siap sedia dan Im dan Bertam tidak perlu dikuarantin sejurus sampai.

“Memandangkan pada masa ini suhu di Jepun adalah sejuk, Im dan Bertam akan ditempatkan di kawasan yang suhunya dikawal supaya menyamai suhu di Malaysia,” katanya sambil menambah kos penghantaran Im dan Bertam ke Jepun adalah sebanyak 10 juta yen (RM341,000) yang ditanggung Nagasaki Biopark.

ARTIKEL YANG SAMA