Malaysia raih emas kedua boling Asia

Malaysia raih emas kedua boling Asia

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Skuad boling negara terus mempamerkan aksi memberangsangkan dengan meraih pingat emas kedua dalam Kejohanan Boling Asia ke-24 yang berlangsung di Pusat Boling SCAA di Hong Kong pada Khamis.

Pasangan Malaysia 1 terdiri daripada Sin Li Jane/Esther Cheah muncul juara selepas melakukan 2,637 jatuhan pin dalam acara beregu wanita, menurut laman web kejohanan www.atbc2016-hk.com.

Pemenang pingat emas dan perak acara perseorangan wanita, Jung Da Wun dan Baek Seung Ja daripada pasukan Korea Selatan 3 hanya dipisahkan oleh 62 jatuhan pin untuk membawa pulang perak setelah melakukan 2,575 jatuhan pin manakala rakan senegara mereka, Jeon Eun Hee/Kim Min Hee mewakili Korea Selatan 2 memenangi gangsa dengan 2,520 jatuhan pin.

Gandingan Malaysia 3 iaitu Nur Syazwani Sahar/Shalin Zulkifli berkesudahan di tempat keempat dengan 2,495 jatuhan pin manakala Syaidatul Afifah Badrul Hamidi/Victoria Chin mewakili Malaysia 2 pula di tempat keenam keseluruhan daripada 33 pasangan dengan 2,438 jatuhan pin.

Harapan negara untuk memenangi emas berganda disekat oleh Wu Siu Hong dan pemenang pingat gangsa perseorangan lelaki, Michael Mak daripada Hong Kong 3 apabila pasangan itu mengetepikan dua gandingan dari Malaysia.

Wu/Mak melakukan 2,708 jatuhan pin manakala pasangan Malaysia 3 iaitu Adrian Ang/Timmy Tan dan Rafiq Ismail/Syafiq Ridhwan Abdul Malek mewakili Malaysia 2 masing-masing membawa pulang perak dan gangsa selepas melakukan 2,676 dan 2,660 jatuhan pin.

Sebagai rekod, Timmy Tan menyumbang pingat emas pertama negara dalam acara perseorangan lelaki pada Rabu.

Kejohanan itu bersambung dengan acara trio dalam kategori lelaki dan wanita. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA