Malaysia ratifikasi Konvensyen Buruh Antarabangsa berhubung gaji minimum

Malaysia ratifikasi Konvensyen Buruh Antarabangsa berhubung gaji minimum

PUTRAJAYA, 8 Jun – Malaysia adalah negara pertama dalam kalangan negara anggota ASEAN dan negara kelima di Asia yang meratifikasi Konvensyen Buruh Antarabangsa berhubung gaji minimum.

Menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, yang mewakili Malaysia pada persidangan itu, dokumen berkenaan sudah diserahkan kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Persidangan Buruh Antarabangsa ke-105 di Geneva, Switzerland, berlangsung dari 6 hingga 9 Jun.

Dokumen ratifikasi tersebut diserahkan kepada Ketua Pengarah ILO Guy Ryder sebagai tanda ratifikasi Konvensyen Buruh Antarabangsa berhubung gaji minimum iaitu “Convention No 131: Minimum Wage Fixing Convention 1970 (C131),” katanya.

“Konvensyen ini adalah instrumen antarabangsa yang menggariskan kaedah penetapan gaji minimum dan perkara berkaitan perlu dipatuhi oleh negara yang meratifikasi konvensyen ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Turut hadir pada konvensyen itu ialah Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Majikan Malaysia Datuk Shamsuddin Bardan, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N.Gopal Kishnam dan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Lok Yim Pheng.

Menurut Riot, konvensyen itu merupakan suatu instrumen antarabangsa yang menggariskan kaedah penetapan gaji minimum dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya yang perlu dipatuhi oleh sesebuah negara yang meratifikasi konvensyen ini.

Beliau berkata kerajaan Malaysia sebagai salah satu anggota ILO sebelum ini telah meratifikasi 16 Konvensyen ILO yang masih berkuat kuasa.

Katanya langkah itu adalah suatu tindakan positif Malaysia bagi menambah baik standard perburuhan negara berhubung setiap aspek pelaksanaan gaji minimum yang diperkenalkan sejak 2013.

“Ia juga bagi menunjukkan komitmen Malaysia di persada antarabangsa untuk menambah baik dasar perburuhan negara khususnya berhubung peningkatan perlindungan sosial secara berterusan bagi kesejahteraan dan kebaikan golongan pekerja,” katanya.

Mengulas lanjut, Riot berkata kerajaan telah mengadakan perbincangan dan konsultasi serta mendapatkan pandangan dengan pihak ILO dalam Majlis Perundingan Gaji Negara sebelum membuat keputusan meratifikasi Konvensyen Buruh Antarabangsa. – Bernama