Malaysia sambut baik RMB sebagai mata wang rizab global

Malaysia sambut baik RMB sebagai mata wang rizab global

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menyambut baik langkah terbaharu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memasukkan renminbi (RMB) China sebagai mata wang rizab dengan menyatakan ia akan banyak menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan antarabangsa.

Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata perkembangan itu amat dialu-alukan dan pada masa hadapan akan menyaksikan peningkatan kepentingan mata wang lain sebagai rizab dalam sistem monetari.

“Sudah tentunya, dolar AS akan masih menjadi mata wang dominan, tetapi dengan adanya mata wang seperti euro, yen, sterling dan kini yuan (RMB), ia merupakan satu kemajuan penting,” katanya kepada media selepas merasmikan “Sidang Kemuncak Tenaga Kepimpinan Iclif 2015”, di sini, hari ini.

Zeti berkata BNM adalah bank pusat pertama di dunia menerima status Pelabur Institusi Asing yang Layak (QFII) daripada pihak berkuasa China pada 2011 dan mempunyai RMB sebagai rizabnya.

“Kita telahpun mempunyai RMB pada tahap yang kita selesa. Kita akan menilainya dan oleh kerana saiz pasaran sedang berkembang, akan ada lagi peluang untuk pelaburan,” katanya.

IMF mengumumkan semalam RMB atau yuan akan menyertai kumpulan mata wang rizab dana tersebut iaitu dolar AS, euro, yen dan pound.

Perubahan terakhir yang dibuat bagi kumpulan mata wang rizab itu ialah pada 2000, apabila euro menggantikan mark Jerman dan franc Perancis.

Zeti berkata langkah IMF itu akan membuka laluan bagi penggunaan RMB yang lebih meluas dalam perdagangan dan kewangan.

“Pengumuman penubuhan bank penjelasan di Malaysia bagi RMB terdahulu merupakan satu langkah penting, dan dengan status QFII, ia akan menyokong lagi penggunaannya dalam menyelesaikan urus niaga perdagangan dan pelaburan.

“Bagi pihak kami, kami menggalakkan kesedaran dalam kalangan pengimport danpengeksport tentang bagaimana mereka boleh mendapat manfaat daripada penggunaan meluas RMB dan tidak berdepan dengan turun naik ‘mata wang ketiga’ dalam perdagangan dua hala.