Malaysia sasar kedatangan 8 juta pelancong China

Malaysia sasar kedatangan 8 juta pelancong China

ALOR GAJAH, 28 Jan – Malaysia menyasarkan peningkatan kedatangan lapan juta pelancong dari China dengan pendapatan RM22.1 bilion setahun menjelang lima tahun akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata walaupun sasaran kedatangan pelancong itu agak besar berbanding 1.3 juta pelancong China yang dicapai dalam masa setahun ini, dengan perancangan rapi dan promosi yang berkesan, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

“Ini (pendapatan RM22.1 bilion) juga merupakan jumlah agak besar tetapi tidak mustahil untuk dicapai kerana pelancong China berbelanja purata RM3,345 seorang (sekarang) sama ada perbelanjaan untuk makanan, penginapan dan membeli-belah.

“Biarpun kita mencapai kehadiran pelancong agak tinggi tahun lepas tetapi untuk tempoh lima tahun ini, kerajaan berhasrat untuk memberikan tumpuan kepada beberapa negara tertentu supaya lebih ramai pelancong dari negara berkenaan datang ke Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Freeport A’Famosa Outlet di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Pengarah Urusan A’Famosa Group Datuk Alex Lau.

Ahmad Zahid berkata usaha menarik pelancong datang ke Malaysia harus dilakukan dengan berkesan kerana perbelanjaan pelancong di negara ini akan memberi impak yang baik kepada ekonomi negara.

“Negara kita seperti negara jiran serantau dan negara lain meletakkan kebergantungan hasil negara kepada pengeluaran dan penjualan petroleum, (tetapi ia) mengalami kemerosotan agak ketara dari segi pendapatan negara terutama pertumbuhan ekonomi. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA