Malaysia sasar RM50 bilion eksport produk halal

Malaysia sasar RM50 bilion eksport produk halal

BANGI, 8 Jan (Bernama) – Malaysia menyasar eksport produk halal mencecah RM50 bilion tahun ini berbanding sasaran tahun lepas sebanyak RM40 bilion.

Setakat September 2015, nilai eksport produk halal berjumlah RM31.1 bilion, naik 27 peratus berbanding setahun sebelumnya, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Ahmad Maslan.

Oleh itu, beliau yakin dapat mencapai sasaran RM40 bilion bagi 2015.

Lima pasaran utama eksport produk halal Malaysia ialah China, Singapura, Amerika Syarikat, Indonesia dan Belanda, katanya kepada pemberita selepas melawat Dewina Food Industries Sdn Bhd, pengeluar produk halal jenama Brahim’s di Bandar Baru Bangi, Jumaat.

Enam sektor utama produk halal termasuk makanan dan minuman, bahan halal, derivatif minyak sawit, kosmetik dan penjagaan peribadi, bahan kimia perindustrian serta farmaseutikal, katanya.

Ahmad berkata sehingga Disember 2014, terdapat 5,415 syarikat diperakui halal di Malaysia, meningkat 30.5 peratus berbanding 4,443 yang dicatatkan pada 2013.

Daripada jumlah itu, 1,841 atau 34 peratus merupakan syarikat Bumiputera, katanya.

“Saya menyeru supaya lebih banyak lagi syarikat Bumiputera terlibat dalam pensijilan halal ini dan mendapatkan pensijilan halal, sebab halal dan Muslim amat berkaitan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industry Development Corporation Datuk Seri Jamil Bidin berkata eksport halal menyumbang kira-kira lima peratus kepada jumlah eksport setakat September tahun lepas.

Sementara itu, Ahmad memberi jaminan bahawa perjanjian perkongsian Trans-Pacifik (TPPA) tidak akan menjejaskan industri halal memandangkan terdapat klausa dalam perjanjian berkenaan yang mengiktiraf industri tersebut dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kita tidak perlu risau kerana ia tidak akan menjejas industri halal, malahan ia (TPPA) mengiktiraf industri halal dan sijil JAKIM dalam perjanjian itu.

“Ini perkara yang baik untuk industri halal pada masa depan,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Datuk Ibrahim Ahmad.

ARTIKEL YANG SAMA