Malaysia sedia bantu rakan ASEAN tangani ancaman siber

Malaysia sedia bantu rakan ASEAN tangani ancaman siber

SINGAPURA, 10 Okt – Malaysia bersedia membantu rakan ASEAN dalam membangunkan keupayaan dan kapasiti sebagai sebahagian daripada usaha menangani peningkatan ancaman keselamatan siber di rantau ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau berkata Malaysia, menerusi agensi CyberSecurity Malaysia, komited bagi menggalakkan kerjasama antarabangsa dengan pelbagai pertubuhan berkaitan.

“Dari segi ancaman keselamatan siber, sebenarnya kita bersedia dari aspek teknikal terutama dalam pembinaan kapasiti. Apa yang amat memerlukan adalah bakat terbaik bagi melindungi negara daripada ancaman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di luar persidangan Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW) 2016 yang bermula di Pusat Konvensyen Suntech di sini hari ini.

Beliau berkata penubuhan makmal latihan pertahanan jenayah siber pertama negara, Cyber Range Malaysia, bulan lepas, adalah tepat pada masanya kerana ia merupakan platform bagi melahirkan generasi baharu tenaga pakar pertahanan keselamatan siber dalam menangkis serangan di alam maya.

Datuk Seri Madius Tangau berucap pada pelancaran SICW di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Suntec, Singapura kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Madius Tangau berucap pada pelancaran SICW di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Suntec, Singapura kelmarin. – Bernama

Menurutnya, Cyber Range, merupakan satu-satunya pusat di rantau ini menggunakan simulasi serangan sebenar dalam bilik khusus bagi membolehkan pelatih menimba pengalaman dalam mempertahan dan menangani serangan siber dalam masa nyata.

Madius berkata pihaknya mempunyai rancangan untuk melatih kira-kira 10,000 ahli profesional dalam dan luar negara di makmal Cyber Range, yang ditempatkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Katanya bukan sahaja agensi kerajaan memerlukan kepakaran tersebut malah juga syarikat swasta khusus dalam sektor pengangkutan dan tenaga serta institusi kewangan dalam melindungi sistem maklumat penting masing-masing.

Terdahulu, dalam ucaptama pada persidangan tiga hari SICW 2016, Madius berkata Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) meletakkan Malaysia pada tempat ketiga antara 193 negara dalam Indeks Keselamatan Siber Global 2014.

“Ini merupakan pengiktirafan terhadap komitmen negara berkaitan keselamatan siber,” katanya.

Madius mengetuai delegasi Malaysia terdiri daripada pegawai kanan kementerian dan pakar keselamatan siber pada persidangan tersebut.

Beliau juga dijangka mengadakan mesyuarat dengan Menteri Pos dan Telekomunikasi Laos, Dr. Thansamay Kommasith dan Penyelaras Isu-isu Siber di Jabatan Negara Amerika Syarikat, Christopher Painter. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA