Malaysia sedia hadapi ancaman siber

Malaysia sedia hadapi ancaman siber

SINGAPURA, 30 Mei – Malaysia sentiasa bersedia dalam menghadapi ancaman siber, kata Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

“Kita mempunyai SOP (prosedur operasi standard). Jika keadaan itu berlaku..kita boleh tangani,” katanya kepada Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini.

Malah, katanya, Malaysia pernah menghadapi ancaman siber tiga tahun lalu dan telah berjaya ditangani dengan sebaiknya.

Jailani berada di sini bagi melakukan lawatan kerja dan menghadiri ‘Forum Menteri-Menteri mengenai ICT’ (MF-16) yang berlangsung hari ini.

MF-16 kali ini membawa tema “Connectivity, Content, Cybersecurity.”

Terdahulu, beliau bertemu dengan Menteri Kanan Negara, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura, Dr Mohamad Maliki Osman.

Malaysia sedia bagi sebarang ancaman siber. - AFP
Malaysia sedia bagi sebarang ancaman siber. – AFP

Jailani berkata Malaysia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menubuhkan jawatankuasa bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi persediaan menghadapi ancaman siber ini.

Mengulas penglibatan Malaysia dalam MF-16, beliau berkata Malaysia mula aktif melibatkan diri sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, inti pati Forum yang menyaksikan penglibatan pemimpin dan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Asia ini boleh membantu dalam menentukan dasar-dasar ICT negara.

“Teknologi sentiasa berubah. Forum sebegini mampu membawa Malaysia berada seiring dengan negara-negara maju dan berkongsi teknologi dan idea sesama rakan negara jiran,” katanya.

Memberi contoh, Jailani berkata, ketika Forum itu berlangsung timbul satu persoalan berkaitan perkhidmatan ‘over-the-top’ (OTT) sama ada ia perlu dikawal selia.

Katanya, maklumat seumpama itu amat baik lebih-lebih lagi ketika ini Malaysia sedang mengkaji tentang keperluan untuk mengawal selia perkhidmatan tersebut.

MF-16 berlangsung sehari sebelum Pameran dan Persidangan Teknologi Komunikasi dan Maklumat Antarabangsa Ke-27 2016 (CommunicAsia 2016).

Sebanyak lapan syarikat berkaitan telekomunikasi Malaysia akan menyertainya di bawah Pavilion Malaysia di Marina Bay Sands Expo and Convention Centre, di sini.

Jailani juga berkata mesyuarat dua hala turut diadakan antara SKMM dan Infocomm Development Authority of Singapore.

“Kita turut ambil peluang ini bagi berkongsi perkembangan terkini. Antara topik yang disentuh adalah berkaitan spektrum dan frekuensi. Ia merupakan perjumpaan tahunan,” katanya.

Malaysia dan Singapura, katanya, bekerjasama rapat dalam penyelarasan spektrum terutamanya di sepanjang kawasan sempadan.

Mengenai kadar penembusan jalur lebar negara, beliau berkata, ia meningkat ke tahap 77 peratus berbanding 33.4 peratus pada suku pertama 2010 ketika pelancaran Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI). – Bernama