Malaysia sedia jadi hab teknologi hijau

Malaysia sedia jadi hab teknologi hijau

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Malaysia akan menjadi hab teknologi hijau di rantau ini, jika dinilai daripada kejayaan lima edisi Teknologi Hijau Antarabangsa dan Pameran serta Persidangan Produk Eko yang dianjurkan Malaysia sebelum ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, sambutan kepada persidangan itu adalah baik dan sejak 2010 ia telah menjana lebih RM6 bilion dalam perniagaan hijau.

“Ini telah merangsang pertumbuhan sektor teknologi hijau di Malaysia serta bidang lain melalui promosi dan dialog yang penting kepada perkembangan sektor yang baru muncul ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan secara rasmi Teknologi Hijau Antarabangsa dan Pameran serta Persidangan Produk Eko (IGEM 2015) Ke-6 di sini, mulai 9 hingga 12 September depan.

Acara empat hari itu dijangka menarik 50,000 pengunjung dan 400 pempamer daripada lebih 20 negara.

Setakat ini kira-kira 300 gerai telah diambil 72 pempamer, di mana 125 gerai dalam bentuk pavilion akan diduduki syarikat teknologi hijau terkemuka dari Jerman, Sepanyol, Belanda, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Singapura.

Ongkili berkata, pihaknya gembira IGEM 2015 akan terus menjadi pameran dan persidangan teknologi hijau utama ASEAN.

“Kami yakin tahun ini IGEM sekali lagi akan memberi sumbangan penting kepada pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia,” katanya.

Acara bertemakan “Memperkasa Ekonomi Hijau’ itu dianjur kementerian berkenaan dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia. Ia akan menampilkan pameran yang memberi fokus secara strategik kepada sektor teknologi hijau seperti tenaga, pengangkutan, bangunan, sisa dan air. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA