Malaysia tamatkan aksi kelayakan

Malaysia tamatkan aksi kelayakan

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) – Selepas gagal dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, skuad Harimau Malaysia kini harus fokus kepada perlawanan play-off kelayakan Piala Asia.

Kekalahan 0-2 kepada Arab Saudi dalam kempen kelayakan itu awal pagi ini mengakhiri cabaran Malaysia ke Piala Dunia tetapi belum menguburkan impian mereka untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2019, sekiranya mampu menang di peringkat play-off pada 2 dan 7 Jun depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata skuad negara harus melihat ke depan dan bangkit memberi cabaran yang lebih bermakna di peringkat antarabangsa.

“Kita kena lihat ke depan. Perlawanan pagi tadi adalah permulaan yang bagus untuk tahun ini dan menunjukkan harapan bagi bulan-bulan akan datang.

Skuad Harimau Malaysia menamatkan aksi terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 dengan kekalahan keenam selepas tewas 0-2 kepada pendahulu kumpulan, Arab Saudi di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, Arab Saudi, awal pagi ini.

Setiausaha Agong Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media mengenai Anugerah Jurulatih Terbaik Bulanan Tahun 2016 di Wisma FAM hari ini. – Bernama
Setiausaha Agong Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media mengenai Anugerah Jurulatih Terbaik Bulanan Tahun 2016 di Wisma FAM hari ini. – Bernama

Kemenangan tersebut menyaksikan gergasi Asia Barat itu layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2018 manakala Malaysia perlu menempuhi aksi play-off ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.

Pada aksi di Jeddah, pasukan tuan rumah kendalian Bert van Marwijk dari Belanda menguasai sebahagian besar perlawanan sehingga memaksa pemain negara ‘berkampung’ di halaman sendiri.

Penyerang pasukan tuan rumah, Mohammed Al Sahlawi membuka tirai jaringan pada minit ke-35 namun pengadil, Kim Dong Jin dari Korea Selatan tidak mengesahkan jaringan berkenaan selepas pemain tersebut dikesan berada pada kedudukan ofsaid.

Pasukan Arab Saudi terus mengancam kubu negara dengan serangan bertali arus namun berjaya diserap oleh benteng pertahanan negara dan menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, pasukan Arab Saudi kembali menggandakan asakan dan hasilnya, Al Sahlawi meletakkan pasukan tuan rumah di depan menerusi jaringan pembukaan pada minit ke-50 selepas menyambar bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, hasil percubaan luar kotak penalti oleh Salman Muwashar.

Kelalaian benteng pertahanan negara sekali lagi dihukum apabila Taiseer Al Jassam menggandakan kedudukan untuk Arab Saudi pada minit ke-73 selepas memanfaatkan hantaran rakan sepasukan.

Barisan serangan pasukan tuan rumah meneruskan asakan bertali arus dan tidak berputus asa bagi menambah jaringan namun ketangkasan Khairul Fahmi menyaksikan keputusan 2-0 itu kekal sehingga berakhirnya perlawanan.

Arab Saudi yang sudah mengesahkan tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2019, akan berdepan pasukan tangga kedua, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Mohammad Bin Zayed, Abu Dhabi pada 29 Mac ini pada aksi terakhir Kumpulan A.

ARTIKEL YANG SAMA